Guru korbankan kasut kesayangan demi anak murid

SHAH ALAM – Memasuki minggu ketiga sesi persekolahan 2026, pelbagai kisah dan ragam melibatkan guru serta pelajar dikongsikan di media sosial.
Namun perkongsian seorang guru, Akram Ishak meraih perhatian ramai apabila memaparkan kisah anak muridnya yang hadir ke sekolah memakai selipar lusuh.
Guru di sebuah sekolah kebangsaan di Kedah itu berkata, murid lelaki berkenaan merupakan anak yatim yang kematian ibu, manakala bapanya pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan terhad bagi menyara keluarga.
"Anak murid saya ini mak sudah meninggal, ayah kerja pengawal keselamatan, adik beradik ramai dan duduk rumah datuk.
"Mereka tiga beradik pandai main bola, memang saya ambil untuk wakil sekolah," katanya di Threads pada Selasa.
Menerusi hantaran itu, Akram dilihat menghadiahkan kasut sukan berjenama antarabangsa kegemarannya kepada pelajar terbabit supaya dia tidak berasa rendah diri, selain dapat terus menyertai aktiviti sukan sekolah seperti rakan-rakan lain.
"Kasut Adidas ni kasut saya. Awak pakai, jaga elok-elok. Saya sayang kasut itu. Belajar elok-elok," ujarnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang menganggap tindakan guru itu sebagai bukti prihatin terhadap pelajar, bukan sekadar menilai dari segi akademik semata-mata.
Ringkasan AI
- Memasuki minggu ketiga sesi persekolahan 2026, pelbagai kisah dan ragam melibatkan guru serta pelajar dikongsikan di media sosial
- Perkongsian seorang guru, Akram Ishak tentang seorang anak muridnya yang hadir ke sekolah memakai selipar lusuh meraih perhatian ramai
- Murid tersebut merupakan anak yatim dengan bapanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai pendapatan terhad
- Akram Ishak menghadiahkan kasut sukan berjenama antarabangsa kepada pelajar tersebut supaya tidak berasa rendah diri
- Tindakan guru itu dilihat sebagai bukti prihatin terhadap kebajikan pelajar, bukan hanya menilai dari segi akademik saja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

