Penduduk loya bau busuk air hitam dari kandang babi

KUALA LANGAT – Air berwarna hitam pekat dan berbau busuk dikesan mengalir dari kawasan kandang babi ke parit utama di Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat di sini sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap tahap pencemaran alam sekitar di kawasan berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati sisa cecair atau efluen dari ladang babi itu dilepaskan melalui paip bersaiz besar sebelum bertakung di sebuah kawasan pembuangan yang menyerupai kolam kumbahan tidak terurus.
Keadaan itu menyebabkan penduduk sekitar terpaksa menghidu bau yang meloyakan tekak, terutama setiap kali menjelang Subuh, dipercayai akibat pelepasan efluen najis babi yang tidak dirawat.
Difahamkan, pencemaran itu berlaku secara berterusan apabila sisa dari kandang dialirkan ke kolam kumbahan sebelum dibuang ke parit dan anak sungai, seterusnya mengalir hingga ke pesisir Pantai Kampung Tumbuk di Selat Melaka.
Seorang pekerja ladang sawit, Muhammad Nazmi Mohd Nin, 31, berkata, beliau sudah terbiasa dengan bau busuk berkenaan memandangkan telah lama bekerja berhampiran dua ladang babi yang diuruskan secara tradisional di kawasan itu.
“Bau busuk memang kuat, terutama awal pagi. Kadang-kadang sampai rasa loya, tapi lama-kelamaan terpaksa biasakan diri sebab tempat kerja dekat dengan kawasan ladang babi,” katanya pada Rabu.

Seorang lagi penduduk, S Sree Jalaraman, 46, berkata, mereka kini hidup dalam keresahan apabila aktiviti pelepasan sisa hitam dari ladang babi itu bukan sahaja mencemarkan udara, malah telah ‘membunuh’ ekosistem laut yang menjadi sumber rezeki penduduk selama ini.
Jelasnya, isu pencemaran memberi impak besar kepada aktiviti perikanan apabila jumlah nelayan tempatan yang turun ke laut semakin berkurangan kerana bimbang pencemaran air menjejaskan kualiti tangkapan.
“Pencemaran yang berlarutan sejak lebih 50 tahun ini didakwa menjadi punca utama kepupusan hasil laut seperti kerang dan ketam yang dahulunya sangat mudah diperoleh di pesisir pantai.
“Kalau dulu kawasan ini terkenal dengan kerang dan ketam, tetapi sekarang saya rasa bukan setakat kurang, malah sudah tiada langsung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, isu pencemaran sisa hitam dan bau busuk dari ladang babi di kawasan itu kini mencecah tahap kritikal.
Menurutnya, meskipun hanya 30 peratus daripada 114 kandang asal masih beroperasi selepas serangan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) tahun lalu, impak pelepasan efluen tidak terawat ke laut masih membelenggu penduduk setempat.
Katanya, tinjauan pihaknya mendapati sistem kumbahan yang tidak mengikut piawaian menyebabkan najis babi disalurkan terus ke parit hingga mencemari kawasan pantai.
“Radius ladang ini hanya sekitar satu kilometer dari kediaman dan masjid, yang secara tidak langsung menyalahi garis panduan,” katanya.
Beliau menggesa Menteri Besar Selangor bertindak lebih proaktif dan mendesak Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menyelesaikan isu ini dengan segera.

Ahli Parlimen Banting, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi pula berkata, sistem penternakan tradisional yang diamalkan sejak sekian lama itu kini tidak lagi boleh diterima oleh masyarakat tanpa mengira kaum kerana kesan pencemarannya yang serius.
“Titah Sultan Selangor sudah jelas, kita tidak mahu lagi ada ladang babi di Kuala Langat ini.
“Pelepasan sisa hitam ini berlaku setiap hari tanpa kira masa. Hasil tinjauan kami mendapati bau dari kolam kumbahan sangat pahit dan hangit. Jika angin laut bertiup ke darat, seluruh kampung akan terkesan,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan kelewatan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu perpindahan ladang itu walaupun perancangan Modern Pig Farming (MPF) sudah dirangka sejak 2018.
Ahmad Yunus berkata, kesan pencemaran tidak boleh hanya dinilai berdasarkan perubahan warna air semata-mata, kerana ia juga membabitkan kandungan berbahaya seperti logam berat yang boleh terkumpul dalam ekosistem laut.
“Kandungan logam berat ini menjadi makanan kepada ikan, dan akhirnya dimakan oleh manusia. Jika mikroplastik dalam makanan laut pun telah terbukti memberi kesan kesihatan, sisa najis babi tentu lebih berbahaya,” jelasnya.
Tambahnya lagi, pencemaran ini juga boleh memberi kesan jangka panjang terhadap sektor pelancongan Selangor, khususnya di pantai tumpuan seperti Bagan Lalang, Gold Coast, Batu Laut dan Morib.
“Jika pencemaran seperti ini berterusan, ia akan memberi kesan langsung kepada imej dan industri pelancongan negeri. Bau busuk ini mungkin sudah biasa kepada penduduk, tetapi tidak kepada pelancong.
“Pencemaran ini boleh menjejaskan keseluruhan rantaian ekonomi setempat,” katanya.
Ringkasan AI
- Air hitam pekat dan berbau busuk dari kandang babi di Kampung Tumbuk Darat menimbulkan kebimbangan pencemaran
- Pelepasan sisa cecair dari ladang babi melalui paip besar ke kolam kumbahan tidak terurus
- Pencemaran membawa impak besar kepada aktiviti perikanan setempat dengan pengurangan hasil laut
- Ketua Penerangan Pas Pusat mendesak tindakan proaktif dari pihak berkuasa untuk menangani isu kritikal pencemaran
- Pencemaran ini turut disebut berpotensi memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

