Cukai tanah sekolah diseragamkan RM50 setiap hak milik mulai tahun ini

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk menyelaraskan kadar cukai tanah bagi semua tanah kegunaan sekolah kepada bayaran nominal RM50 bagi setiap hak milik bermula tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketetapan itu dibuat selepas Pihak Berkuasa Negeri meneliti semula semakan cukai tanah 2026 serta mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan oleh pihak sekolah sebelum ini.
Menurutnya, hasil keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri menetapkan tanah sekolah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dikenakan cukai nominal RM50 bagi setiap hak milik membabitkan sebanyak 106 hak milik.
“Bagi tanah sekolah yang bukan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pula, kadar sama iaitu RM50 bagi setiap hak milik turut dikenakan, kecuali sekolah antarabangsa.
"Keputusan ini melibatkan 201 hak milik,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar, pada Rabu.
Beliau menambah, langkah berkenaan bukan bertujuan meningkatkan beban kewangan sekolah sebaliknya untuk mewujudkan keseragaman kadar bayaran supaya semua sekolah membayar jumlah yang sama.
“Ada sekolah sebelum ini perlu membayar cukai tanah sehingga ribuan ringgit, namun dengan ketetapan baharu ini, semuanya hanya perlu membayar RM50 bagi setiap hak milik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas isu kenaikan ketara cukai tanah melibatkan sebahagian pemilik tanah khususnya bagi kategori First Grade, susulan semakan menyeluruh yang dilakukan selepas lebih 30 tahun.
"Kali terakhir kerajaan negeri membuat semakan kadar cukai tanah adalah pada tahun 1994 menyebabkan banyak tanah First Grade masih dikenakan kadar lama berasaskan kategori pertanian walaupun kegunaan sebenar telah berubah kepada kediaman, komersial atau perindustrian.
“Melalui Warta Kerajaan Pulau Pinang bertarikh 11 September 2025, kaedah pengiraan baharu diperkenalkan dengan mengambil kira kegunaan semasa tanah. Seperti contoh, sebidang tanah First Grade seluas 10,800 meter persegi di Seberang Perai Selatan.
"Ia sebelum ini hanya dikenakan cukai RM33 setahun atas kategori pertanian, kini dikenakan kadar RM3.25 bagi setiap meter persegi selepas dikenal pasti digunakan untuk tujuan perindustrian, menjadikan jumlah cukai tahunan sebanyak RM35,101.
“Walaupun kenaikan ini dilihat tinggi, ia sebenarnya mencerminkan kadar sebenar yang sepatutnya dibayar oleh pemilik tanah perindustrian. Langkah ini lebih adil kerana tiada lagi pemilik yang menikmati kadar terlalu rendah,” katanya.
Bagi mengurangkan kesan kenaikan tersebut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut meluluskan pemberian rebat sebanyak 50 peratus kepada semua pemilik tanah bagi tahun 2026, tertakluk kepada syarat dan kadar minimum yang ditetapkan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pulau Pinang menyelaraskan kadar cukai tanah untuk sekolah ke RM50 bagi setiap hak milik tahun ini
- Kadar RM50 dikenakan sama untuk tanah sekolah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan bukan, melibatkan 307 hak milik
- Langkah ini diambil untuk mencipta keseragaman dan mengurangkan beban kewangan sekolah
- Kenaikan ketara cukai tanah bagi tanah First Grade setelah semakan menyeluruh lebih 30 tahun
- Rebat 50 peratus untuk semua pemilik tanah bagi tahun 2026 sebagai langkah mengurangkan kesan kenaikan cukai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

