IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang surat untuk hadir ke sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, minggu depan.

Menurutnya, tindakan Pengerusi PAC, Leong Cheok Keng membuat kenyataan media lebih awal untuk memanggil beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Datuk Aminuddin Hashim pada sesi pendengaran awam itu hanya bertujuan menimbulkan persepsi negatif terhadap mereka berdua.

Beliau berkata, PAC sepatutnya memperincikan tujuan mereka dipanggil melalui surat yang dihantar dan bukan melalui sidang media.

"Bagaimana seorang pengerusi boleh memanggil orang melalui sidang media. Kemudian beri gambaran seolah-olah saya takut untuk hadir sedangkan surat pun saya tak terima lagi.

"Saya perlu tahu juga atas asas apa saya dipanggil. Takkan sebab kita tak bentang laporan kewangan MB Inc dalam Dewan Negeri? Perkara itu sudah berkali-kali dijawab dan dijelaskan dalam sidang Dun sebelum ini.

"Janganlah gunakan PAC ini sebagai alat untuk memenuhi dendam politik. Saya tidak terkejut sekiranya Pengerusi PAC diarahkan pihak tertentu untuk memanggil saya dalam prosiding PAC yang sepatutnya dipanggil melalui keputusan Jawatankuasa PAC," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Cheok Keng yang meminta agar Zambry hadir pada sesi pendengaran awam itu jika Adun Pangkor itu telus dan tidak menyembunyikan apa-apa berkaitan MB Inc.

[ARTIKEL BERKAITAN: PAC: Zambry, Aminuddin perlu hadir]

Zambry berkata, tiada apa yang disembunyikan dalam MB Inc kerana organisasi tersebut diaudit malah dalam penjelasan berkali-kali sebelum ini turut dinyatakan bahawa semua pihak boleh melihat sendiri laporan audit tersebut.

Katanya, amalan untuk tidak membentang laporan kewangan MB Inc di dalam Dewan Negeri turut dilakukan di negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang dan Selangor.

Sementara itu, Zambry menjelaskan beliau tidak ada masalah untuk hadir pada sesi pendengaran awam itu sekiranya alasan yang diberikan munasabah.