Khemah parkir tersangkut di bumbung masjid

BALIK PULAU – Sebuah khemah parkir beroda berukuran 10 x 12 kaki diterbangkan angin sebelum tersangkut di bumbung Masjid An-Nur Titi Teras, Jalan Titi Teras Air Putih di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.47 pagi.
Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Balik Pulau bersama enam anggota termasuk seorang penyelia digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai dan tiba pada jam 9.56 pagi.
“Insiden melibatkan sebuah khemah parkir beroda yang diterbangkan angin sebelum tersangkut di bumbung masjid pada ketinggian kira-kira 12 kaki.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemotongan kerangka khemah yang tersangkut menggunakan peralatan khas selepas melakukan penilaian awal di lokasi.
“Khemah berkenaan berjaya diturunkan dengan selamat dan dibantu oleh penduduk setempat.
“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.04 pagi dan ditamatkan pada jam 10.56 pagi selepas memastikan keadaan di lokasi berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Operasi melibatkan sebuah jentera CFRT BBP Balik Pulau dan kes diklasifikasikan sebagai insiden tanpa kecederaan.
Ringkasan AI
- Khemah parkir beroda terbang dan tersangkut di bumbung Masjid An-Nur Titi Teras akibat angin
- Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.47 pagi
- Enam anggota bomba termasuk seorang penyelia dihantar ke lokasi kejadian
- Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut
- Operasi penyelamatan berjaya dikawal dan ditamatkan pada jam 10.56 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

