Kadar wajib zakat fitrah di Perak kekal RM10

IPOH – Kadar wajib zakat fitrah di Perak bagi tahun 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi kekal RM10 bagi setiap individu sebagaimana ditetapkan pada tahun sebelumnya.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, penetapan itu dibuat atas perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah serta selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak secara ijmak.
Menurutnya, kadar wajib RM10 dikenakan kepada pembayar zakat fitrah yang menggunakan beras super spesial tempatan dan super import.
"Selain itu, kadar pilihan atau galakan RM16 ditetapkan bagi pengguna beras perang, beras wangi, herbal poni dan beras rebusan.
"Manakala kadar pilihan RM25 pula bagi pengguna beras basmati, beras pulut, beras Jepun dan beras merah," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Perak 1447H/2026M di Ibu Pejabat Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) di sini pada Selasa.
Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Syamsul Hazeman Md Salleh dan Pengurus Besar ZAPAR, Ahmad Nazim Md Tajuri.
Mengulas kadar pilihan tertinggi yang diturunkan daripada RM27 tahun lalu kepada RM25, Zamri menjelaskan penentuan harga dibuat berdasarkan realiti semasa harga beras di pasaran.
"Perbandingan harga dibuat berdasarkan data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Unit Kawal Selia Beras serta kajian lapangan di pusat-pusat perniagaan yang menjual beras.
"Hasil perbandingan itu mendapati kadar pilihan ketiga tahun ini lebih rendah berbanding tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kadar RM10 adalah kadar minimum yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim tanpa mengira jenis beras yang dimakan, manakala kadar selebihnya hanyalah pilihan.
"Pembayaran mengikut kadar pilihan adalah lebih afdal kerana lebih memberi manfaat kepada fakir dan miskin.
"Namun pembayaran pada kadar minimum tetap sah," jelasnya.
Sementara itu, Ahmad Nazim berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan MAIPk bagi lantikan amil zakat fitrah dan proses pelantikan akan diselesaikan sebelum Ramadan.
Menurutnya, taklimat pertama kepada amil akan dilaksanakan bermula Rabu dan diteruskan di semua zon serta daerah di seluruh negeri.
"Jumlah amil tahun ini dianggarkan seramai 1,735 orang berbanding kira-kira 1,900 orang tahun lalu, selari dengan usaha pendigitalan pembayaran zakat fitrah yang mula diperkenalkan sejak tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kaedah pembayaran melalui kupon fitrah masih dikekalkan, jumlahnya adalah terhad dan masyarakat kini lebih cenderung menggunakan pembayaran secara dalam talian.
"Tahun lalu, kutipan zakat fitrah mencecah kira-kira RM15.2 juta dan hampir separuh daripada jumlah itu diterima melalui pembayaran online.
"Dengan penambahbaikan aplikasi dan laman web pada tahun ini, kita yakin lebih ramai pembayar akan memilih kaedah digital," katanya.
Dalam pada itu sebanyak 18 cawangan ZAPAR di seluruh Perak beroperasi setiap hari sepanjang bulan Ramadan termasuk pada hujung minggu dan cuti umum.
Waktu operasi adalah dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja manakala dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang pada hujung minggu serta cuti umum.
INFO
Kadar bayaran zakat fitrah di Perak
1. Beras putih import dan beras super special tempatan 5% - RM10
2. Beras perang, beras rebus, herba ponni dan beras wangi atau seumpamanya - RM16
3. Beras basmathi, beras jepun/calrose, beras pulut, beras merah atau seumpamanya - RM25
Ringkasan AI
- Kadar wajib zakat fitrah di Perak bagi tahun 1447 Hijrah tetap RM10 bagi setiap individu
- Kadar pilihan RM16 bagi pengguna beras perang, wangi dan lain-lain, dan RM25 bagi pengguna beras basmati dan jenis tertentu
- Penetapan kadar dibuat selepas perbincangan dan perkenan Sultan Perak serta keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak
- Kadar pilihan tertinggi diturunkan dari RM27 tahun lalu kepada RM25 berdasarkan realiti semasa harga beras di pasaran
- Pembayaran zakat fitrah mengikut kadar pilihan dianggap lebih afdal dan memberi manfaat kepada fakir miskin, namun pembayaran minimum tetap sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

