Perhilitan siasat tapak kaki haiwan disyaki harimau di TIEP, Lembah Bidong

Maklumat tular berhubung penemuan tapak kaki haiwan didakwa harimau di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di Setiu.
Maklumat tular berhubung penemuan tapak kaki haiwan didakwa harimau di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di Setiu.
A
A
A

SETIU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menjalankan siasatan berhubung penemuan tapak kaki haiwan didakwa harimau di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, di sini.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 29 Januari lalu dan siasatan awal telah dilaksanakan pada hari sama.

Menurutnya, kamera perangkap (camera trap) turut dipasang bagi mengenal pasti hidupan liar yang terlibat serta memantau pergerakan haiwan di kawasan berkenaan.

“Hasil siasatan setakat ini mendapati tapak kaki yang dikesan adalah milik tapir, anjing, babi hutan dan lembu, namun siasatan serta pemantauan masih diteruskan oleh pihak jabatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi sekitar juga tidak menemukan sebarang bukti yang menunjukkan kehadiran harimau belang, termasuk ketiadaan kawasan berbukit yang lazimnya menjadi habitat haiwan berkenaan.

“Analisis lanjut rakaman kamera perangkap akan dilakukan hari ini bagi mendapatkan pengesahan lebih terperinci,” katanya.

Terdahulu, tular gambar tapak kaki haiwan yang didakwa sebagai tapak harimau yang dirakam di kawasan TIEP sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

Maklumat tersebar itu turut memaklumkan bahawa latihan menunggang kuda menggunakan trek di kawasan berkenaan tidak dibenarkan buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Perhilitan Terengganu menjalankan siasatan berhubung penemuan tapak kaki haiwan di TIEP, Lembah Bidong
  • Laporan berhubung penemuan tersebut diterima pada 29 Januari dan siasatan awal dilaksanakan pada hari yang sama
  • Kamera perangkap dipasang untuk mengenal pasti hidupan liar dan memantau pergerakan haiwan
  • Siasatan mendapati tapak kaki milik tapir, anjing, babi hutan dan lembu tanpa bukti kehadiran harimau belang
  • Pemeriksaan lanjut melalui rakaman kamera perangkap akan dilakukan untuk pengesahan lebih terperinci

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!