Jangan ‘pukul’ sesama sendiri di media sosial – Shahidan

KANGAR - Ahli parti, khususnya pimpinan kanan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini, diingatkan supaya menghentikan budaya saling mengecam di media sosial kerana perbuatan itu hanya melemahkan parti dan memberi kelebihan kepada pihak lawan.
Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan rakan parti seharusnya diselesaikan secara berhemah tanpa dipamerkan kepada umum melalui platform media sosial.
Menurutnya, pada masa lalu, komunikasi antara ahli dilakukan secara langsung menerusi panggilan telefon dan perbincangan tertutup yang lebih berkesan tanpa menimbulkan salah faham.
“Kalau ada perkara yang tidak dipersetujui, kita boleh bercakap secara terus. Tidak perlu dipaparkan di media sosial kerana kebanyakannya tidak membawa kebaikan, sebaliknya lebih kepada mengkritik dan mencari perhatian,” katanya pada malam Isnin.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat PN negeri di Yayasan Pok Dan Kassim, di sini.
Jelasnya, budaya mengejar ‘like’ dan reaksi di media sosial boleh memberi kepuasan sementara, namun hakikatnya tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada parti.
Beliau menegaskan bahawa tindakan mengecam rakan seperjuangan secara terbuka juga boleh disifatkan sebagai melanggar perlembagaan parti serta disiplin yang telah ditetapkan.
“Apabila kita saling menyerang sesama sendiri, musuh tidak perlu berbuat apa-apa kerana kita sudah melemahkan parti dari dalam.
“Di negeri lain mungkin mereka boleh menentukan cara masing-masing, tetapi bagi kita, perkara seperti ini tidak boleh dilakukan kerana ia bercanggah dengan peraturan parti,” ujarnya.
Sehubungan itu, Shahidan menyeru semua ahli agar mengutamakan perpaduan, memperkukuh kerjasama dan menyalurkan sebarang pandangan secara tertutup demi menjaga keharmonian serta kekuatan parti.
Teguran Ahli Parlimen Arau itu dipercayai merujuk kepada tindakan segelintir ahli termasuk wakil rakyat atau pemimpin parti dalam PN yang masih berterusan menyerang sesama sendiri walaupun kemelut politik di Perlis yang membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar semakin reda.
Ringkasan AI
- Ahli parti Perikatan Nasional di Perlis diingatkan menghentikan budaya mengecam di media sosial
- Perbezaan pandangan seharusnya diselesaikan secara berhemah tanpa dipamerkan di media sosial
- Komunikasi antara ahli sebelum ini lebih berkesan melalui panggilan telefon dan perbincangan tertutup
- Mengecam rakan seperjuangan di media sosial boleh disifatkan sebagai melanggar perlembagaan parti
- Shahidan menyeru ahli parti mengutamakan perpaduan dan kerjasama, serta menyalurkan pandangan secara tertutup
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

