Berdosa subahat dengan 'geng plastik hitam' - Timbalan Mufti Perak

IPOH – Peniaga Muslim diingatkan supaya tidak bersubahat dengan individu yang sengaja tidak berpuasa dengan menjual makanan secara terbuka kepada golongan berkenaan sepanjang bulan Ramadan.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, fenomena individu membeli makanan menggunakan plastik hitam ketika siang hari setiap Ramadan bukan perkara baharu dan berkait rapat dengan tahap keimanan seseorang.
Menurutnya, ibadah puasa tidak boleh dipaksa kerana ia melibatkan soal dalaman individu namun masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk menegur dan menasihati sekiranya melihat perbuatan yang mencemarkan kesucian Ramadan.
"Perkara ini berlaku setiap tahun dan ia melibatkan iman seseorang. Kita tak boleh memaksa perkara dalaman, tetapi kita mohon penglibatan masyarakat supaya memberi nasihat atau melaporkan perkara ini.
"Yang paling utama, saya mohon sangat kepada peniaga-peniaga kita. Walaupun mereka buka pada waktu pagi atau tengah hari, sekiranya menjual kepada mereka yang memang tidak boleh berpuasa seperti kanak-kanak kecil, itu dibenarkan,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Perak 1447 Hijrah/2026 Masihi di Ibu Pejabat Zakat Perak Al-Ridzuan di sini pada Selasa.
Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Syamsul Hazeman Md Salleh dan Pengurus Besar Zakat Perak Al Ridzuan, Ahmad Nazim Md Tajuri.
Bagaimanapun, Zamri menegaskan bahawa peniaga yang menjual makanan kepada individu yang sengaja tidak berpuasa telah melakukan perbuatan bersubahat dan menanggung dosa.
"Sekiranya kita menjual kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa, kita sudah bersubahat dan kita sudah berdosa. Sebab itu kita harapkan perkara ini dapat dikurangkan.
"Mungkin sukar untuk mengatakan ia tidak akan berlaku langsung, tetapi harapan kita supaya ia semakin berkurang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam memelihara kesucian Ramadan sebagai salah satu rukun Islam.
Ringkasan AI
- Peniaga Muslim diingatkan tidak menjual makanan secara terbuka kepada individu tidak berpuasa sepanjang Ramadan
- Fenomena membeli makanan siang hari di Ramadan adalah tanda kelemahan iman
- Masyarakat bertanggungjawab menasihati individu yang tidak menghormati kesucian Ramadan
- Peniaga boleh menjual makanan kepada mereka yang memang tidak boleh berpuasa seperti kanak-kanak
- Peniaga yang menjual kepada individu yang sengaja tidak berpuasa bersubahat dan berdosa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

