Pulau Pinang tetapkan tiga kadar zakat fitrah


KEPALA BATAS - Kadar kutipan zakat fitrah bagi Pulau Pinang untuk tahun ini ditetapkan pada tiga kadar berbeza mengikut jenis beras yang menjadi makanan asasi pembayar, iaitu RM10, RM15 dan RM25.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, kadar RM10 dikenakan bagi beras putih import, beras putih Thai atau yang setara dengannya.
Menurutnya, bagi RM15 bagi beras rebus, beras perang atau yang setara, dan RM25 bagi beras wangi, beras pulut, beras herba ponni, beras calrose, beras basmathi atau yang setara.
"Penetapan kadar tersebut adalah selaras dengan hukum syarak serta mengambil kira kebiasaan makanan asasi masyarakat Islam di negeri ini," katanya ketika merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (MAPAF) dan Sumbangan Ihya’ Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, Zakat MAINPP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM10.2 juta bagi tahun ini, manakala sasaran keseluruhan kutipan zakat negeri ditetapkan berjumlah RM239 juta.
"Bagi tahun 2025, kutipan zakat fitrah yang berjaya direkodkan adalah sebanyak RM8.8 juta, sekali gus melepasi sasaran awal RM7.9 juta.
"Malah, hasil kutipan tersebut turut menyumbang kepada kejayaan keseluruhan kutipan zakat negeri yang mencecah RM202 juta, melepasi sasaran RM200 juta,” katanya.
Mengulas mengenai pentauliahan amil ada tahun ini, Mohamad berkata, seramai 1,686 orang amil zakat fitrah telah dilantik di seluruh Pulau Pinang melibatkan 239 kariah merangkumi Masjid Negeri, masjid-masjid daerah, masjid kariah serta pusat kutipan yang ditetapkan.
Menurut beliau, pelantikan tersebut mencerminkan tahap kepercayaan tinggi Kerajaan Negeri dan Zakat MAINPP terhadap para amil sebagai wakil rasmi institusi zakat bagi melaksanakan kutipan zakat fitrah dengan penuh amanah, berhemah serta berpaksikan syariat Islam.
Dalam pada itu, seiring kemajuan teknologi, Mohamad berkata, Zakat MAINPP turut memperkenalkan penggunaan Aplikasi Smart Amil bermula tahun ini sebagai langkah penambahbaikan dalam pengurusan amil zakat fitrah.
Katanya, aplikasi berkenan berfungsi sebagai platform digital bersepadu yang membolehkan proses kutipan, rekod transaksi dan pelaporan dilaksanakan dengan lebih sistematik, tepat dan telus, sekali gus mempercepatkan pemantauan serta pengauditan.
Sementara itu, Mohamad berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyalurkan Sumbangan Ihya’ Ramadan berjumlah RM265,000 kepada Masjid Negeri dan masjid-masjid daerah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), selain RM1 juta bagi sumbangan pengimarahan masjid dan pelaksanaan solat tarawih di seluruh negeri.
Beliau berharap sumbangan berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengimarahkan masjid melalui program keilmuan, ibadah, kebajikan serta aktiviti kemasyarakatan sepanjang Ramadan.
Ringkasan AI
- Kadar kutipan zakat fitrah Pulau Pinang ditetapkan pada tiga kadar berbeza RM10, RM15, dan RM25
- RM10 untuk beras putih import, RM15 untuk beras rebus atau perang, RM25 untuk beras wangi atau pulut
- Penetapan kadar zakat fitrah mengambil kira kebiasaan makanan asasi masyarakat Islam Pulau Pinang
- Zakat MAINPP menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM10.2 juta untuk tahun ini
- Seramai 1,686 amil zakat fitrah telah dilantik di seluruh Pulau Pinang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

