Anggota PBT Wilayah Persekutuan guna kamera badan mulai suku keempat tahun ini - Hannah

PUTRAJAYA - Anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bakal menggunakan kamera badan semasa menjalankan operasi bermula suku keempat tahun ini.
Langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah memperkukuh integriti dan meningkatkan ketelusan dalam tindakan penguatkuasaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu antara empat langkah utama yang dikenal pasti menerusi kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan sistem pentadbiran jabatan itu sentiasa tertakluk kepada semakan, pemantauan serta penambahbaikan berterusan.
"Selalu banyak aduan adalah mengenai tabiat rasuah semasa penguat kuasa turun ke lapangan,” katanya selepas majlis penandatanganan nota kerjasama antara JWP dan SPRM di sini pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Noridah Abdul Karim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Mohd Sakeri Abdul Kadir.
Hannah berkata, kerjasama itu melibatkan semua enam agensi di bawah JWP, dengan skop merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran dalam pengesanan serta pengesahan aduan atau salah laku, selain penyaluran maklumat konsisten berkaitan jenayah rasuah.
Beliau berkata, pusingan kerja akan dilaksanakan dengan lebih kerap, khususnya melibatkan unit khas dan sensitif bagi mengelakkan isu keakraban pegawai dengan pihak berkepentingan.
Selain itu, tatacara pengurusan perolehan juga akan ditambah baik melalui pelaksanaan proses sebut harga dan tender sepenuhnya dalam talian.
Hannah berkata, penilaian semula penarafan risiko Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan turut akan dilaksanakan supaya pegawai SPRM boleh dipertimbangkan untuk ditempatkan di unit integriti pejabat tanah berkenaan.
"Kita buka pintu kepada SPRM untuk masuk bersama dan memberikan saranan,” katanya.
Nota kerjasama yang dimeterai JWP dan SPRM meliputi perkongsian maklumat, kepakaran dalam pengesanan serta pengesahan aduan atau salah laku, di samping penyaluran maklumat konsisten berkaitan jenayah rasuah.
Selain itu, nota kerjasama berkenaan merangkumi khidmat nasihat bagi menambah baik sistem serta tatacara kerja serta perkongsian strategik bagi pelaksanaan latihan peningkatan kemahiran dan kompetensi pencegahan jenayah rasuah. - Bernama
Ringkasan AI
- Anggota penguat kuasa PBT di bawah JWP akan menggunakan kamera badan dalam operasi
- Langkah ini bertujuan memperkukuh integriti dan meningkatkan ketelusan
- Inisiatif ini merupakan salah satu daripada empat langkah utama hasil kerjasama dengan SPRM
- Nota kerjasama antara JWP dan SPRM meliputi perkongsian maklumat dan peningkatan sistem pencegahan rasuah
- Proses sebut harga dan tender akan dilakukan sepenuhnya dalam talian sebagai usaha memperbaiki pengurusan perolehan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
