'Warga kota penentu masa depan KL, bukan bekas Exco Melaka' - Naib Ketua DAPSY

Raja Ahmad Iskandar Fareez
Raja Ahmad Iskandar Fareez
A
A
A

SHAH ALAM - Pengundi di Kuala Lumpur wajar diberi peluang menentukan sendiri tadbir urus dan hala tuju ibu kota melalui pemerkasaan demokrasi peringkat tempatan termasuk cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Naib Ketua Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, nasib dan masa depan Kuala Lumpur sepatutnya ditentukan oleh warga kota yang menetap, bekerja dan membina kehidupan di bandar raya itu sendiri, bukan oleh orang luar seperti bekas Exco Negeri Melaka.

"Isu setempat yang dihadapi penduduk di kawasan seperti Kerinchi, Kampung Bharu, Kampung Datuk Keramat, Setapak dan Bandar Seri Permaisuri misalnya, tidak semestinya difahami oleh wakil rakyat di luar Kuala Lumpur.

"Dengan memberi peluang peluang kepada warga kota memilih kepimpinan peneraju pentadbiran ibu kota, suara dan keperluan penduduk tempatan dapat diangkat dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, pemerkasaan demokrasi tempatan juga menggalakkan penglibatan komuniti, khususnya anak muda, sebagai penggerak utama dalam membina penyelesaian dan masa depan kawasan mereka sendiri.

Jelasnya, struktur pentadbiran Bandaraya Kuala Lumpur juga berbeza berbanding dengan negeri kerana tidak mempunyai perwakilan di peringkat 'negeri' seperti Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sebaliknya kota raya itu ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang tidak dipilih rakyat.

Urusan perkhidmatan kawasan dan aduan penduduk pula tertumpu kepada 11 Ahli Parlimen yang perlu berkhidmat untuk 1.98 juta penduduk.

"Keadaan ini jauh berbeza dengan negeri-negeri seperti Perlis (285,000), Melaka (998,000), Negeri Sembilan (1.199 juta) dan Terengganu (1.149 juta) yang mempunyai populasi yang jauh lebih rendah tetapi mempunyai Ahli Majlis dan wakil rakyat negeri masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh untuk mengkaji cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan langkah tepat bagi menilai kelebihan dan kelemahan idea tersebut.

Beliau berkata, perbincangan berkenaan dasar baharu perlu berlandaskan fakta dan penilaian menyeluruh, bukan sentimen perkauman.

"Suara pengundi tidak sepatutnya dipinggirkan dalam pentadbiran Kuala Lumpur.

"Jika pengundi di Merlimau berpeluang memilih seorang wakil rakyat yang kemudiannya dilantik menjadi ahli pentadbiran negeri mereka, maka warga ibu kota juga wajar mendapat peluang yang sama untuk memilih perwakilan dalam pentadbiran bandar raya ini," katanya.

Terdahulu, Pemuda UMNO menolak dan berikrar akan menggagalkan cadangan untuk mengadakan pilihan raya jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan berkenaan dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha sebelum ini berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta cadangan pilihan raya PBT.

 

 

 

Ringkasan AI

  • Pengundi Kuala Lumpur harus menentukan sendiri tadbir urus ibu kota melalui demokrasi peringkat tempatan
  • Nasib dan masa depan Kuala Lumpur ditentukan oleh warga kota, bukan oleh orang luar
  • Peluang kepada warga kota untuk memilih kepimpinan memastikan suara dan keperluan penduduk tempatan diangkat
  • Struktur pentadbiran Kuala Lumpur berbeza kerana tiada perwakilan di peringkat 'negeri'
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) mengkaji cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!