Pelantikan ahli majlis PBT Perak dimuktamadkan sebelum tamat tempoh

Sandrea (depan, empat dari kanan) bersama barisan pengurusan Persatuan Penganut Dewa Dato Kong sempena lawatan kerja ke tapak Tokong Dewa Dato Kong, Tanjung Piandang pada Selasa.
Sandrea (depan, empat dari kanan) bersama barisan pengurusan Persatuan Penganut Dewa Dato Kong sempena lawatan kerja ke tapak Tokong Dewa Dato Kong, Tanjung Piandang pada Selasa.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak akan memuktamadkan pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penggal baharu sebelum tamat tempoh lantikan sedia ada pada 15 Mac ini bagi mengelakkan kekosongan pentadbiran di peringkat tempatan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng berkata, proses pelantikan itu sedang diteliti dan akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dalam masa terdekat.

Menurutnya, seramai 324 ahli majlis PBT akan dilantik merangkumi kesemua 15 PBT di negeri ini dengan kombinasi ahli sedia ada yang dikekalkan serta calon baharu.

"Kerajaan negeri menerima cadangan daripada pelbagai parti politik, masing-masing mempunyai kaedah penilaian tersendiri. Bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR), proses temuduga dilaksanakan bagi menilai kesesuaian calon.

"Bagi ahli majlis sedia ada pula, penilaian prestasi telah dibuat termasuk pemberian markah sebagai panduan sekiranya mereka dicadangkan untuk dilantik semula," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke tapak Tokong Dewa Dato Kong, Tanjung Piandang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pelantikan itu penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran PBT berjalan lancar sebaik sahaja tempoh lantikan semasa tamat.

Dalam perkembangan lain, Sandrea berkata, kerajaan negeri telah menerima permohonan Persatuan Penganut Dewa Dato Kong berhubung isu pemilikan empat lot tanah seluas kira-kira 0.6 hektar melibatkan tapak tokong dan 29 unit rumah kedai di kawasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan rekod sejarah, tanah itu telah diberi milik kepada penduduk tempatan berbangsa Cina sekitar tahun 1913 hingga 1918, sebelum pemilik asal menyerahkan penggunaannya kepada pihak tokong untuk tujuan ibadat serta kutipan derma dan sewaan rumah kedai.

Bagaimanapun ujarnya, urusan pertukaran hak milik tidak pernah dimuktamadkan secara rasmi, menyebabkan nama pemilik asal yang telah meninggal dunia masih tersenarai dalam rekod Pejabat Tanah.

Artikel Berkaitan:

"Pada 2012, tanah berkenaan telah dilucuthakkan dan kembali menjadi tanah kerajaan. Kerajaan negeri mengambil kira sejarah panjang tokong tersebut serta hasrat pemilik asal, namun penyelesaian perlu dibuat secara berprinsip dan berlandaskan undang-undang," katanya.

Beliau menjelaskan, laporan teknikal isu berkaitan termasuk pandangan waris pemilik asal tanah sedang disediakan oleh Jabatan Teknikal sebelum dibawa ke MMK dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi keputusan lanjut.

"Matlamat kita adalah penyelesaian menyeluruh dan jangka panjang, bukan sahaja untuk menjamin kelangsungan rumah ibadat, tetapi juga kepentingan komuniti setempat di Tanjung Piandang," katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Perak akan memuktamadkan pelantikan 324 ahli majlis PBT bagi penggal baharu sebelum 15 Mac
  • Proses pelantikan sedang diteliti dan akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dalam masa terdekat
  • Pelantikan melibatkan ahli sedia ada yang dikekalkan dan calon baharu dengan cadangan dari pelbagai parti politik
  • Pelantikan penting untuk memastikan kelangsungan pentadbiran PBT
  • Isu pemilikan tanah Tokong Dewa Dato Kong dan 29 unit rumah kedai sedang ditangani, melibatkan sejarah tanah yang belum dimuktamadkan secara rasmi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!