Sungai 10 kilometer bertukar hitam, air sisa industri Bukit Rambai disyaki punca

MELAKA - Sungai dianggarkan sepanjang 10 kilometer bertukar kehitaman dan berbau busuk dipercayai berpunca daripada pencemaran air sisa industri di Bukit Rambai yang tidak dirawat dan dilepaskan ke dalam kolam takungan banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, masalah itu dipercayai telah berlarutan sejak tiga minggu lalu dan menjejaskan kehidupan seharian penduduk kampung serta para pekebun di kawasan berhampiran.
Menurutnya, situasi itu memberi kesan terhadap hasil pertanian susulan pekebun bergantung kepada sumber air sungai bagi tujuan pengairan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Punca pencemaran disyaki berpunca daripada kolam takungan banjir di kawasan perindustrian Bukit Rambai. Sepatutnya kolam ini berfungsi menakung lebihan air hujan sebelum dilepaskan ke sistem parit dan sungai berhampiran.
“Namun hasil lawatan pada Isnin mendapati kolam takungan tersebut mengandungi air sisa industri yang belum dirawat. Airnya berwarna hitam dan berbau busuk, hampir sama dengan bau pencemaran di Sungai Ayer Salak dan sungai-sungai lain,” katanya pada Selasa.

Ban Hong berkata, lawatan tersebut turut disertai beberapa agensi dan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), SWM Environment, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pemimpin tempatan.
Beliau telah mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa tindakan khas bagi mengatasi permasalahan itu dengan mengambil sampel air dari kolam takungan banjir dan sungai tercemar bagi mengenal pasti bahan pencemar dan kilang terbabit pembuangan sisa tidak terawat.
“Langkah ini penting supaya kita dapat mengenal pasti pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah melepaskan atau membuang air sisa industri ke dalam kolam takungan, seterusnya mengalir ke sungai.
“JAS dan agensi berkaitan juga digesa mengambil tindakan segera bagi merawat air sungai yang tercemar bagi mengelakkan pencemaran merebak ke anak-anak sungai lain dan tidak terkawal,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan pemantauan rapi perlu dilakukan di kawasan perindustrian bagi mengesan punca pencemaran supaya kejadian sama tidak berulang, selain tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang terlibat.

Sementara itu, seorang pekebun, Fong Ah Chan, 72, berkata, keadaan air sungai yang berwarna hitam secara berterusan menimbulkan kebimbangan terhadap tanaman sayur-sayuran seperti kangkung, keledek dan kesum yang diusahakannya.
“Setakat ini belum nampak kesan, tetapi jika berlarutan saya risau tanaman akan terjejas. Harap air sungai ini kembali seperti biasa,” katanya.
Seorang lagi pekebun buah-buahan, Lee Kau, 68, berkata, tanamannya seperti jambu, durian dan rambutan berisiko rosak jika keadaan itu berterusan, selain mendakwa buah jambu di kebunnya gugur lebih awal.
“Sepanjang 20 tahun saya berkebun, perkara ini tidak pernah berlaku. Dua tahun lepas ada berlaku air hitam tetapi tidak berbau, mungkin kerana kemarau.
“Kali ini sangat teruk. Kawasan kebun seluas satu setengah ekar boleh rosak. Saya sudah membuat aduan kepada ahli majlis,” katanya.
Penduduk setempat, Nor Lukman Mohd Said, 29, pula berkata, pencemaran sungai itu memberi kesan besar kepada penduduk sejak dua minggu lalu.
“Air sungai sangat busuk, hidup tak selesa dan selera makan pun terganggu.
“Dulu orang ramai memancing di sini, sekarang sudah tiada. Kami harap pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap kilang yang menyebabkan pencemaran ini,” katanya.
Ringkasan AI
- Sungai di Melaka bertukar kehitaman dan berbau busuk disebabkan pencemaran air sisa industri di Bukit Rambai
- Masalah pencemaran telah berlarutan sejak tiga minggu lalu, memberi kesan kepada kehidupan penduduk dan pekebun
- Pencemaran mempengaruhi hasil pertanian khususnya tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang bergantung kepada sumber air sungai
- ADUN Klebang mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas untuk mengatasi masalah pencemaran dan mengenal pasti bahan pencemar
- Penduduk dan pekebun lokal merasai kesan negatif terhadap kehidupan seharian dan hasil pertanian, mendesak tindakan tegas dari pihak berwajib
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

