JERANTUT - Masjid baharu bernilai RM5.6 juta akan dibina bagi menggantikan bangunan sedia ada sekalis gus bagi memberi kemudahan penduduk di Felda Padang Piol, di sini.

Adun Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, pembinaan masjid baharu itu telah mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kami bersyukur kerana baginda bersetuju dengan cadangan untuk membina masjid baru ini bagi menggantikan bangunan lama yang tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat terutama ketika solat Jumaat.

“Pada masa yang sama saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang meluluskan peruntukan sebanyak RM5.6 juta untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Menurutnya, kelulusan pembinaan masjid baharu itu menunjukkan komitmen dan tanggungjawab perdana menteri terhadap warga Felda bagi memberi keselesaan kepada mereka untuk beribadat serta menjalankan program komuniti setempat.

Beliau berkata, masjid yang sedia ada telah dibina pada tahun 70-an dan telah menjalani kerja-kerja membaik pulih serta membesarkan bangunan dari semasa ke semasa mengikut jumlah jemaah.

“Jumlah penduduk di Felda Padang Piol kini lebih 4,000 orang dan pembinaan bangunan baharu merupakan langkah terbaik untuk kemudahan penduduk,” katanya.

Wan Amizan memberitahu, bangunan masjid yang baharu akan dilengkapi dengan dewan solat utama yang lebih besar, bilik-bilik khas dan pelbagai kemudahan lain.

Dalam pada itu, Pengurus Felda Padang Piol, Zolkopli Soik berkata, beliau mewakili seluruh penduduk di tanah rancangan berkenaan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Pemangku Sultan Pahang kerana meluluskan pembinaan masjid baharu.

“Pihak kontraktor sedang melakukan kerja-kerja mengalih peralatan dan barang-barang yang masih boleh digunakan ke dewan orang ramai yang dijadikan masjid sementara dan kerja-kerja merobohkan bangunan lama akan dilakukan sebaik semuanya selesai,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Persatuan Pembinaan Masjid Jorak Elahi, Bukit Pasir (Permas BP) di sini, mengharapkan lebih ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi membantu pembinaan Masjid Jorak Elahi.
  • SUBANG - Kerajaan negeri akan menanggung sebahagian kos pembinaan dan pembangunan Masjid Putra Heights yang dianggarkan berjumlah keseluruhan hampir RM28 juta.
  • SEGAMAT - Kira-kira 1,000 jemaah Masjid Al-Husna, Segamat Baru di sini, dapat beribadah dengan lebih selesa apabila kerja-kerja menaik taraf masjid tersebut dijangka siap sepenuhnya awal tahun hadapan.
  • SKUDAI - Penantian hampir tiga tahun penduduk Taman Pulai Indah untuk memiliki masjid kini menjadi kenyataan.
  • PORT DICKSON - Setiap masjid di negeri ini digalakkan menyediakan kemudahan jalur lebar tanpa wayar atau wi-fi dalam usaha menggalakkan lebih ramai golongan muda mengimarahkan masjid.