Tuntutan Pulau Pinang dibuat ikut perlembagaan, berbeza kes Sulu - Sanusi

Muhammad Sanusi (kanan) membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah.
Muhammad Sanusi (kanan) membidas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah.
A
A
A

ALOR SETAR - Isu tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dilaksanakan mengikut lunas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan, berbeza dengan tuntutan ke atas Sulu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, langkah yang diambil juga berbeza dengan tuntutan dibuat waris Sulu ke atas Sabah khususnya dari segi kedaulatan.

"Kita akan pergi secara perlembagaan, dalam kerangka perlembagaan bukan diluar perlembagaan. Dia kata tak berperlembagaan itu macam mana, kita akan bertindak berdasarkan undang-undang sedia ada, tidak akan langgar apa-apa.

"(Isu) Sulu itu bukan dalam Malaysia, Sulu sultan pun tak ada dah, kita (Kedah) ada lagi, jauh beza, tidak sama," katanya.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Khamis.

Tambah beliau, pembentangan akhir berkaitan tuntutan berkenaan sudah dibentangkan kepada kerajaan negeri dan dokumen lengkap pasukan peguam dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi.

“Kita akan berdepan secara berperlembagaan, dalam kerangka perlembagaan sedia ada, kita tidak akan melanggar undang-undang,” katanya.

Sanusi jelaskan, sekiranya wujud isu dan kes itu perlu dibawa ke hadapan, ia wajar ditangani melalui saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang.

“Takkan semua tak berperlembagaan, kita pun baca buku. Insya-ALLAH perkara ini akan diselesaikan dengan baik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, media melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan, tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan menegaskan, tuntutan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap kedaulatan Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan.

Ringkasan AI

  • Isu tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dilaksanakan mengikut lunas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan
  • Langkah tuntutan berbeza dengan tuntutan dibuat waris Sulu ke atas Sabah dari segi kedaulatan
  • Tindakan Kedah akan dibuat dalam kerangka Perlembagaan dan tidak akan melanggar undang-undang
  • Pembentangan akhir berkaitan tuntutan sudah dibentangkan kepada kerajaan negeri dan dokumen lengkap dijangka siap dalam tempoh 3-4 bulan
  • Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sebagai tidak berperlembagaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!