Empat penganjur Bazar Aidilfitri Dataran Senawang dibatalkan, MBS ambil alih pengurusan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEREMBAN – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menamatkan serta-merta pelantikan empat penganjur Bazar Aidilfitri Dataran Senawang pada Rabu.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin, dalam kenyataannya berkata penamatan itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi minit mesyuarat perjumpaan yang diadakan baru-baru ini serta syarat penganjuran yang ditetapkan.

“Penganjur didapati gagal mengemukakan surat tawaran atau surat setuju terima kepada peniaga yang ditawarkan lengkap dengan maklumat wajib, iaitu nama peniaga, nombor kad pengenalan, nombor telefon, nombor petak, kadar bayaran yang dikenakan serta resit bayaran.

“Selain itu, satu salinan kepada pihak MBS juga tidak dikemukakan dan penganjur turut gagal melaksanakan tanggungjawab serta telah melanggar syarat penganjuran yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut memaklumkan bahawa MBS mengarahkan semua peniaga menghentikan serta-merta sebarang urusan penyewaan petak, pembayaran atau perjanjian dalam apa jua bentuk dengan penganjur yang terlibat.

Jelasnya, sebarang urusan tuntutan deposit atau bayaran berkaitan bolehlah dirujuk terus kepada penganjur terdahulu.

“Jika tuntutan tersebut gagal, peniaga dinasihatkan untuk membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.

“Bagi memastikan kelangsungan penganjuran Bazar Aidilfitri Dataran Senawang serta melindungi kepentingan peniaga, MBS akan mengambil alih sepenuhnya urusan penganjuran,” katanya.

Masri berkata, sebarang maklumat lanjut berkaitan penempatan petak, kadar bayaran dan tatacara baharu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi MBS sahaja.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, seorang lagi penganjur telah menarik diri selepas didapati tidak mampu mengurus bazar tersebut dengan baik.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan di talian 06-765 4281, 06-765 4278, 06-765 4271 atau 06-765 4250,” katanya.

Untuk rekod, lima penganjur yang dipilih sebelum ini ialah Pertubuhan Sahabat Muafakat Negeri Sembilan, Warisan Sinar MMR Sdn Bhd, Persatuan Seni Gayong Serantau Malaysia, Pertubuhan Belia Warisan Paroi dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa harga sewa tapak khemah Bazar Aidilfitri di Dataran Senawang sekali lagi hangat diperkatakan apabila timbul dakwaan harga yang ditawarkan penganjur mencecah sehingga RM14,000.

Isu terbabit menjadi tular apabila terdapat pihak yang menyuarakan ketidakpuasan hati di media sosial, selain mendesak Masri tampil memberikan penjelasan kerana didakwa gagal menyelesaikan isu harga yang disifatkan sebagai cekik darah itu yang berlarutan sekian lama.

Ringkasan AI

  • MBS menamatkan serta merta empat penganjur Bazar Aidilfitri Dataran Senawang kerana gagal mematuhi syarat penganjuran
  • Penganjur gagal mengemukakan surat tawaran dan salah satu salinan kepada MBS selain melanggar syarat penganjuran
  • Peniaga disarankan untuk menghentikan sebarang urusan dengan penganjur dan merujuk masalah tuntutan bayaran kepada mereka
  • MBS akan mengambil alih urusan penganjuran Bazar Aidilfitri Dataran Senawang untuk melindungi kepentingan peniaga
  • Maklumat lanjut berkaitan penempatan petak dan kadar bayaran akan dimaklumkan melalui saluran rasmi MBS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!