Pulau Pinang warta nasi kandar sebagai salah satu item Warisan Negeri

Kon Yeow (tengah) menunjukkan sampel antara makanan yang diluluskan pewartaan sebagai Warisan Negeri ketika sidang media di pejabatnya di Komtar pada Khamis.
Kon Yeow (tengah) menunjukkan sampel antara makanan yang diluluskan pewartaan sebagai Warisan Negeri ketika sidang media di pejabatnya di Komtar pada Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN – Pulau Pinang meluluskan pewartaan 10 makanan tradisional termasuk nasi kandar, pasembor, char kue kak, oh chien, kerabu bihun, mi Hokkien, mi udang, mi sotong, mi Jawa dan roti Benggali sebagai Warisan Negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011.

Turut tersenarai adalah enam item warisan kebudayaan tidak ketara itu iaitu budaya nasi kandar, budaya kopitiam, perarakan Thaipusam, perarakan Chingay, perayaan St Anne Bukit Mertajam serta loghat Bahasa Tanjong Pulau Pinang.

Ini kerana, kesemua enam item itu mempunyai nilai sejarah dan budaya sejak kurun ke-19 dan masih diamalkan sehingga kini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kesemua 16 item warisan berkenaan akan diisytiharkan secara rasmi menerusi program Kenduri Warisan yang akan diadakan dalam masa terdekat selaras dengan aspirasi Penang2030 dan gagasan Malaysia Madani.

Menurutnya, pewartaan tersebut bukan sekadar pengiktirafan sebaliknya melibatkan komitmen berterusan kerajaan negeri bagi memastikan aspek penjagaan, pemuliharaan serta kaedah penyediaan yang betul dilaksanakan khususnya melibatkan makanan tradisional.

“Kita perlu memastikan terdapat penjagaan, pemuliharaan dan cara penyediaan yang betul dilakukan.

"Ini merupakan sebahagian daripada tugas Pejabat Pesuruhjaya Warisan bagi memastikan perkara ini dilaksanakan secara berterusan, bukan sekadar mengangkat dan meninggalkannya begitu sahaja,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar pada Khamis.

Beliau menambah, Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang turut mempunyai jawatankuasa khusus yang berperanan memantau pemeliharaan dan penyelenggaraan item warisan secara berterusan selaras dengan peruntukan dalam enakmen dan peraturan berkaitan.

Katanya, sebaik sahaja sesuatu makanan atau item diangkat di bawah enakmen ia akan dilindungi oleh undang-undang dan tidak boleh dipinda atau diubah sesuka hati.

Artikel Berkaitan:

“Kita bimbang sekiranya keaslian rasa dan identiti asal masakan akan hilang pada masa hadapan akibat pengaruh peredaran zaman, termasuk kemunculan pelbagai makanan fusion,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak menghalang inovasi makanan sebaliknya menekankan keperluan penjenamaan yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan.

“Fusion food tidak dihalang tetapi ia tidak boleh menggunakan nama makanan tradisional asal seperti char kuay teow.

"Ia perlu mempunyai nama sendiri supaya tidak mengelirukan orang ramai,” ujarnya.

Beliau berkata, pewartaan tersebut secara tidak langsung memartabatkan makanan tradisional Pulau Pinang, termasuk makanan dijual di tepi jalan yang diiktiraf mempunyai nilai warisan budaya tinggi.

“Ini adalah satu kebanggaan kepada Pulau Pinang kerana makanan tepi jalan juga boleh diangkat sebagai Warisan Negeri.

"Ia menunjukkan nilai budaya yang perlu dipelihara, termasuk keaslian dan nama makanan tersebut,” katanya.

Menurutnya, budaya makanan Pulau Pinang merupakan antara penyumbang utama kepada kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

"Pengiktirafan antarabangsa yang dilaporkan media membuktikan bahawa budaya makanan Pulau Pinang menjadi antara tarikan utama pelancong.

“Budaya makanan kita adalah antara sebab Pulau Pinang disenaraikan bersama destinasi unggul dunia. Kekuatan ini perlu dipelihara dan dijaga dengan sebaiknya,” katanya.

Tambahnya, pewartaan tersebut juga selaras dengan usaha kerajaan negeri melalui Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri untuk terus mengenal pasti, mendokumentasi dan mengangkat lebih banyak khazanah warisan Pulau Pinang pada masa hadapan.

Ringkasan AI

  • Pulau Pinang meluluskan pewartaan 10 makanan tradisional sebagai Warisan Negeri
  • Termasuk juga enam item warisan kebudayaan tidak ketara seperti budaya nasi kandar dan perarakan Thaipusam
  • Pewartaan ini diisytiharkan untuk pemeliharaan dan penjagaan aspek budaya dan sejarah
  • Ini bertujuan untuk memastikan keaslian dan identiti makanan serta budaya tidak hilang
  • Pewartaan membantu memartabatkan makanan tradisional Pulau Pinang sebagai tarikan utama pelancongan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!