Johor tegas banteras ajaran sesat - Exco

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyebaran ajaran sesat di susulan terdapat usaha mempromosikan kembali ajaran Ahmadi Religion yang telah difatwakan sesat dikesan di negeri itu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pemantauan berterusan itu akan dilaksanakan terhadap aktiviti, penerbitan serta bahan promosi yang didapati mencurigakan di seluruh negeri ini.
"Kerajaan Negeri Johor menegaskan bahawa Ahmadi Religion adalah ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat. Penyebaran fahaman tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan rasmi di Negeri Johor.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fahaman bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas gegantung berkaitan ajaran tersebut yang dikesan di Muar baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Fared turut meminta orang ramai agar terus memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat serta membuat laporan segera sekiranya mengesan sebarang aktiviti, pengajaran atau bahan yang mempunyai kaitan dengan ajaran sesat kepada Pejabat Kadi Daerah berhampiran atau melalui saluran rasmi pihak berkuasa agama.
Menurutnya, tindakan awal dan maklumat tepat daripada masyarakat amat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil langkah penguatkuasaan dengan lebih berkesan bagi mengekang penularan fahaman yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.
“Kerjasama berterusan masyarakat amat penting bagi memastikan keharmonian agama, kestabilan sosial dan ketenteraman awam di negeri Johor sentiasa terpelihara,” katanya.
Ringkasan AI
- Jabatan Agama Islam Negeri Johor tidak akan berkompromi dengan penyebaran ajaran sesat
- Ajaran Ahmadi telah difatwakan sesat di Johor
- Kerajaan Negeri Johor menegaskan Ahmadi adalah bertentangan dengan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah
- Tindakan tegas akan diambil terhadap penyebaran fahaman bercanggah
- Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti berkaitan ajaran sesat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
