Kelantan antara negeri tertinggi guna perkhidmatan Bas.My

KOTA BHARU – Kelantan muncul antara negeri mencatatkan penggunaan tertinggi perkhidmatan bas henti-henti Bas.My dengan purata 84,000 penumpang sebulan direkodkan pada suku keempat 2025 sekali gus merekodkan hampir dua kali ganda berbanding sebelum pelaksanaannya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 44,000 penumpang sebulan bagi tempoh sama pada 2024 sebelum Bas.My diperkenalkan di Kota Bharu.
Menurut beliau, prestasi tersebut bukan sahaja melepasi sasaran awal kementerian, malah membuktikan penerimaan baik rakyat Kelantan terhadap pengangkutan awam yang lebih sistematik dan mesra pengguna.
“Kelantan antara negeri yang mencatatkan penggunaan yang tinggi dan saya percaya perkhidmatan ini masih mempunyai ruang besar untuk terus berkembang,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.
Anthony memberitahu, pelaksanaan Bas.My Kota Bharu di bawah model Skim Bas Perantara (SBST) melibatkan 16 laluan merangkumi 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kelantan.
Katanya, sebanyak 64 buah bas digunakan bagi operasi berkenaan, terdiri daripada lapan bas elektrik (EV) bersaiz midi, 24 bas mini ‘low floor’ dan 32 bas mini konvensional.
“Reka bentuk bas berwarna merah jambu yang ceria turut diperkenalkan bagi memudahkan penumpang mengenali Bas.My serta menarik minat penggunaan pengangkutan awam sejak peringkat sekolah,” jelasnya.
Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan melaburkan RM109.3 juta bagi tempoh lima tahun, atau kira-kira RM21.86 juta setahun, bagi memastikan kesinambungan dan kejayaan perkhidmatan Bas.My di Kota Bharu.
Anthony menjelaskan, model SBST yang digunakan membolehkan pengendali menerima bayaran tetap berdasarkan jumlah perjalanan dan jarak, tanpa bergantung kepada bilangan penumpang.
“Lebih ramai penumpang menggunakan bas ini, lebih berbaloi perbelanjaan kerajaan kerana kos purata bagi setiap penumpang akan menurun, sekali gus memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.
Menurut beliau, sambutan amat menggalakkan diterima khususnya daripada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pelajar sekolah dan universiti yang menikmati pas konsesi percuma di bawah dasar nasional pengangkutan awam.
Dalam pada itu, Anthony berkata, pemilihan syarikat tempatan sebagai pengendali turut memberi kelebihan kerana lebih memahami keadaan setempat selain membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Kesemua pemandu Bas.My Kota Bharu adalah rakyat tempatan, termasuk pemandu wanita, dan ini secara tidak langsung merancakkan ekonomi serta peluang pekerjaan di negeri ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi perkhidmatan Bas.My di seluruh negara.
Ujarnya, setakat ini hampir semua negeri telah melaksanakan perkhidmatan Bas.My kecuali Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang berada di bawah Rapid KL, manakala operasi di beberapa bandar lain seperti di Sabah, Pahang dan Sarawak akan dilancarkan secara berperingkat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

