Selangor kaji kesan penutupan ladang babi Tanjung Sepat

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang menjalankan kajian terperinci berhubung keperluan bekalan babi di negeri ini susulan arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk mempercepatkan penutupan operasi di Tanjung Sepat, Kuala Langat pada tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebarang keputusan yang bakal dibuat perlu mengambil kira kesan terhadap rantaian bekalan dan harga pasaran supaya tidak membebankan pengguna.

Menurut beliau, antara aspek utama yang sedang diteliti ialah sumber alternatif bekalan sekiranya penutupan dilaksanakan termasuk kemungkinan import dari luar negeri atau luar negara.

"Apabila kita bercakap soal alternatif, mungkin ia melibatkan import, tetapi kos akan meningkat dan akhirnya harga di pasaran boleh naik dan tentunya kita tidak mahu harga melambung terlalu tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Penzahiran Laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDGS) di sini pada Khamis.

Amirudin menjelaskan, ketika ini kira-kira 70 peratus bekalan daging babi di Selangor sebenarnya sudah diperoleh daripada negeri lain dan juga luar negara.

"Semua maklumat ini perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” katanya.

Amirudin pada Isnin lalu memaklumkan, kerajaan Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara sebarang cadangan melibatkan pembangunan berkaitan ladang penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor berikutan bantahan keras penduduk serta keperluan penelitian lebih menyeluruh.

Sinar Harian pada 12 Januari lalu melaporkan, perancangan untuk memindahkan ladang penternakan babi dari Kuala Langat ke kawasan berpusat moden di Bukit Tagar akan disegerakan sebelum hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, penduduk empat Felda di daerah ini memohon perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya menitahkan kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar yang didakwa terlalu hampir dengan kawasan penempatan dan sumber air.

Sebelum ini, Amirudin berkata, kerajaan Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi cadangan berpusat pemindahan ladang ternakan babi ke Bukit Tagar, namun bersedia menyemak semula pilihan lokasi lain sekiranya terdapat keperluan.

Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjung Sepat, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Baginda bertitah pihak istana tidak bersetuju terutamanya wujud kemungkinan membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor sedang menilai keperluan bekalan babi susulan arahan Sultan Selangor
  • Keputusan yang akan diambil harus memastikan tiada bebanan pada pengguna
  • Sumber alternatif termasuk import sedang dipertimbangkan untuk menggantikan bekalan
  • Sekarang, 70% bekalan daging babi Selangor datang dari luar negeri dan negeri lain
  • Pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar ditangguhkan akibat bantahan penduduk dan perlu kajian lebih lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!