'Kirim RM200 ke Indonesia, sudah rasa macam orang kaya'

Pengukuhan nilai ringgit Malaysia berbanding rupiah Indonesia kini menjadi khabar gembira buat pekerja dari negara jiran itu. Gambar kecil dari kiri: Mohamad Agung, Sri Yolanda dan Wasitah
Pengukuhan nilai ringgit Malaysia berbanding rupiah Indonesia kini menjadi khabar gembira buat pekerja dari negara jiran itu. Gambar kecil dari kiri: Mohamad Agung, Sri Yolanda dan Wasitah
A
A
A

SHAH ALAM – Pengukuhan nilai ringgit Malaysia berbanding rupiah Indonesia kini menjadi khabar gembira buat pekerja warga Indonesia kerana setiap kiriman wang yang dihantar ke kampung halaman terasa berganda nilainya.

Tukang cuci, Wasitah, 46, berkata, kiriman RM200 sebulan kepada keluarga di Medan, Indonesia membuatkannya rasa seperti orang kaya.

Menurut Wasita, ini kerana peningkatan nilai tukar ringgit berbanding rupiah benar-benar membantu meringankan beban keluarganya di kampung.

"Saya bekerja di Malaysia hampir 15 tahun dan setiap bulan saya akan hantar RM200 kepada ibu dan anak saya. Jadi, bila ringgit Malaysia mengukuh rasa macam paling kaya, dapat hantar banyak duit kepada keluarga di sana.

"Di sini RM200 nampak biasa, tapi di kampung jumlahnya hampir sejuta rupiah, banyak benda boleh beli misalnya keperluan sekolah, barangan harian dan sebagainya. Emak pun gembira, saya rasa mahu terus bekerja di Malaysia cari duit untuk mereka.

"Beberapa tahun lalu, satu juta rupiah hampir bersamaan lebih RM300 tetapi kini berbeza. Keluarga saya dapat lebih banyak walaupun jumlah yang dihantar tetap sama ," ujarnya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, ringgit dibuka kekal mengukuh pada 3.96 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi Selasa dalam persekitaran kemungkinan berlaku campur tangan terhadap mata wang oleh pihak berkuasa AS dan Jepun semakin memuncak.

Pada 8 pagi, ringgit diniagakan pada 3.9650/9750 berbanding dolar AS daripada 3.9615/9670 ketika ditutup semalam, kali terakhir ringgit dilihat pada paras ini adalah pada Mei 2018.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka terus meningkat pada Khamis berikutan dolar AS yang semakin lemah.

Artikel Berkaitan:

Pembantu kedai, Sri Yolanda Sawir, 25, berpendapat, setiap kiriman wang ke kampung kini terasa lebih bernilai kerana nilai tukaran yang meningkat.

Beliau memberitahu, dalam masa sama, situasi sekarang dapat mempercepatkan cita-citanya untuk membeli tanah di Medan, Indonesia.

"Sebelum ini, saya terpaksa tunggu lama mahu kumpul duit beli tanah di kampung, namun sekarang dengan pengukuhan ringgit, jumlah yang sama dapat dikumpul lebih cepat dan menjadikan impian saya dicapai dalam tempoh lebih singkat.

"Jika ringgit Malaysia terus mengukuh, tiga atau empat tahun lagi wang saya sudah cukup untuk membeli tanah yang dianggarkan bernilai kira-kira 60 juta Rupiah. Biasanya saya simpan kurang atau lebih RM200 setiap bulan, ikut keadaan kewangan saya ketika itu," ujarnya.

Sri Yolanda yang juga merupakan ibu tunggal memberitahu, dia perlu bekerja keras untuk memastikan anak di kampung dapat hidup lebih selesa dan impian membeli tanah tercapai

Pekerja buruh asal Aceh, Indonesia, Mohamad Agung Wijaya, 29, turut berkongsi rasa gembira kerana dapat membantu keluarga di kampung.

“Saya gembira bantu mak dan ayah mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Bagaimanapun saya gemar menyemak dahulu kadar pertukaran mata wang sebelum hantar ke kampung.

"Kalau lebih RM300 persamaan sejuta Rupiah biasanya saya tidak hantar wang ke kampung sebab bagi saya ia tidak berbaloi,"ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pengukuhan nilai ringgit Malaysia berbanding rupiah Indonesia memberi manfaat kepada pekerja warga Indonesia di Malaysia
  • Kiriman RM200 sebulan ke Indonesia dirasakan seperti banyak oleh penerima di sana
  • Peningkatan nilai tukar ringgit membantu meringankan beban keluarga pekerja Indonesia di kampung halaman
  • Situasi pengukuhan ringgit mempercepatkan impian pekerja Indonesia seperti membeli tanah di Indonesia
  • Pekerja Indonesia di Malaysia mengikuti kadar pertukaran sebelum mengirim wang untuk memastikan nilai pengiriman berbaloi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!