'Kalahkan saya dua kali, anda akan dapat RM2'

Nur Syazana ada kalanya bermain catur dengan Raziq bagi membantu mengasah kemahirannya.
Nur Syazana ada kalanya bermain catur dengan Raziq bagi membantu mengasah kemahirannya.
A
A
A

SEREMBAN - "Kalahkan saya dua kali, anda akan dapat RM2".

Itu cabaran yang dilontarkan oleh seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia 12 tahun kepada sesiapa sahaja yang sudi berlawan catur dengannya.

Inisiatif itu diambil Muhammad Nur Raziq Muhammad Nur Qisti bagi mengasah kemahirannya bermain permainan papan tersebut.

Ibunya, Nur Syazana Zakaria, 36, berkata, dia tidak menyangka anak sulungnya itu pandai bermain catur dan bakatnya mula terserlah ketika di sekolah.

“Tahun lalu, guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) beritahu mahu hantar Raziq sertai karnival catur peringkat kebangsaan.

“Saya terkejut sebab tak pernah ajar dia main catur di rumah, cuma sekadar tunjukkan permainan itu yang boleh dimainkan dalam talian,” katanya ketika ditemui di gerai mi wantannya di Senawang.

Menurutnya, ketika sesi pemilihan untuk ke karnival berkenaan, anaknya mendapat tempat kedua sebelum terpilih untuk kali pertama pada September lalu.

Sejak itu, kata Nur Syazana, menjadi rutin Raziq untuk berlatih bermain catur, malah bagi mengasah kemahirannya, dia turut dihantar menyertai pertandingan secara kecil-kecilan.

"Saya pun pernah hantar dia ke kelas catur dan jurulatih memintanya membuat latihan bermain dalam talian, tapi Raziq kurang berminat menyebabkan dia tiada latihan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan suami kemudiannya cuba tanya kawan-kawan jika ada yang boleh bermain dengan Raziq, tapi tiada yang berkelapangan, kami pula dah kerap sangat bermain dengannya.

"Sebab itulah timbulnya idea untuk buat 'iklan' ajak orang berlawan catur dengan Raziq di gerai dan saya berniaga pun sebenarnya nak tambah pendapatan bayar yuran kelas caturnya," katanya lagi.

Bagaimanapun ujarnya, Raziq meluahkan rasa kecewa kerana tiada sesiapa yang datang mahu bermain catur dengannya dan ekoran itu dia membuat hantaran mencari lawan anaknya di Facebook komuniti catur Malaysia.

Dia tidak menyangka yang hantaran terbabit tular dalam masa dua hari dan dalam tempoh itu juga, seramai tujuh individu termasuk seorang tentera telah datang bermain catur dengan Raziq.

"Dalam hantaran itu saya tulis syaratnya main selama 15 minit dan jika menang dua kali, lawan akan dapat RM2.

"Daripada tujuh lawannya, Raziq hanya kalah sekali, tapi lawannya itu tak ambil pun RM2 yang ditawarkan kerana datang untuk beri sokongan,"katanya.

Tambah Nur Syazana, RM2 tersebut merupakan duit simpanan Raziq sendiri.

"Dia sangat sayangkan duitnya, jadi semestinya dia akan bermain dengan bersungguh-sungguh kerana tak mahu kehilangan duitnya,"jelasnya.

Selain itu kata Nur Syazana dia bersungguh memberi semangat kepada Raziq dalam permainan catur kerana mula nampak akan kemampuannya yang boleh pergi lebih jauh.

Kini jelasnya, warung kecilnya itu bukan sekadar tempatnya mencari rezeki, tetapi menjadi ‘arena latihan’ buat anak istimewanya membina impian.

Ringkasan AI

  • Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia 12 tahun mencabar orang ramai bermain catur dengan ganjaran RM2 jika menewaskan dia dua kali
  • Muhammad Nur Raziq mengambil inisiatif tersebut untuk mengasah kemahiran catur
  • Ibunya, Nur Syazana Zakaria, tidak menyangka anaknya berbakat dalam catur yang mula terserlah di sekolah
  • Raziq pernah mengikuti karnival catur peringkat kebangsaan setelah dipilih menerusi sesi pemilihan
  • Raziq menggunakan wang simpanannya sendiri untuk ganjaran RM2 bagi menarik lawan bermain catur di warung ibunya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!