Dua bengkel terbakar di Bayan Lepas, lima kenderaan rosak

Anggota bomba memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.
Anggota bomba memadamkan kebakaran di lokasi kejadian.
A
A
A

BAYAN LEPAS – Dua bengkel jenis terbuka di Lorong Bukit Jambul 1 di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Khamis, melibatkan lima buah kenderaan dan beberapa mesin pemotong besi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, sebuah bengkel kereta mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus.

Menurutnya, sebuah lagi bengkel besi bersebelahan musnah kira-kira 60 peratus.

“Kebakaran turut melibatkan lima kenderaan iaitu sebuah SsangYong Rexton, tiga buah Toyota pacuan empat roda serta sebuah Hyundai Starex, yang masing-masing dianggarkan rosak kira-kira 20 peratus.

Dua bengkel musnah dalam kebakaran pada awal pagi Khamis.
Dua bengkel musnah dalam kebakaran pada awal pagi Khamis.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong bertindak sebagai pasukan utama dengan bantuan BBP Bayan Baru dan BBP Jalan Perak, melibatkan seramai 20 anggota termasuk pegawai penyelia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.04 pagi dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira 26 minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan dua bengkel kelas B dengan anggaran keluasan 30 x 60 kaki persegi bagi setiap unit.

Artikel Berkaitan:

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan konsep RECEO serta kaedah defensif dan ofensif bagi menghalang api daripada merebak,” katanya lagi.

Beliau berkata, kerja-kerja pemadaman sepenuhnya selesai pada jam 4.46 pagi sebelum operasi ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada punca api tersembunyi.

“Lokasi kejadian kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut.

“Sementara itu, Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut diaktifkan dengan pengambilan maklumat dua pemilik bengkel terlibat serta pemberian khidmat nasihat dan bantuan mengikut keperluan,” ujarnya.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kes berkenaan.

“Operasi turut dibantu polis dan Tenaga Nasional Berhad, manakala Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera, Perak Lane dan Paya Terubong juga terlibat dalam operasi tersebut,” katanya.

Ringkasan AI

  • Dua bengkel di Lorong Bukit Jambul 1, Bayan Lepas musnah dalam kebakaran
  • Kebakaran melibatkan lima buah kenderaan dan beberapa mesin pemotong besi
  • Sebuah bengkel kereta musnah 50 peratus manakala bengkel besi bersebelahan 60 peratus
  • Kebakaran berjaya dikawal dalam masa kira-kira 26 minit
  • Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!