BENTONG - Air mata sudah menjadi teman sejati tetapi tidak pernah diperlihatkan kepada sesiapa pun kecuali pada ALLAH SWT tempat dirinya mengadu.

Kesempitan hidup Norhadisam Mohamed Isa, 41, yang menetap di Felda Sungai Kemahal di sini bermula apabila dia menghidap kencing manis 10 tahun lalu.

Lebih menyedihkan kaki kanannya terpaksa dipotong menyebabkan Norhadisam sekeluarga hilang punca pendapatan.

“Sebelum ni saya masih mampu lagi bekerja sebagai pemandu jentera berat.

“Tapi penyakit ni dah melarat, kaki saya terpaksa kena potong. Kalau dah potong, macam mana nak kerja lagi,” katanya.

Menurutnya, bagaikan jatuh ditimpa tangga, dia mula menghidap penyakit kulit sejak dua tahun lalu.

“Kulit saya tiba-tiba jadi macam kurap. Gatalnya jangan cakaplah...badan pula jadi sakit-sakit. Nak tidur malam memang susah. Jadi saya buat pemeriksaan di hospital iaitu di Kuantan dan Temerloh...doktor kata mereka tak dapat pastikan penyakit apa yang saya hidap ni.

“Sekarang doktor beri ubat tahan sakit dan minta saya berehat di rumah saja,” katanya.

Norhadisam berkata, kini dia kini menetap bersama ibunya dan hanya mengharapkan hasil jualan kelapa sawit daripada ladang ibunya.

“Sekarang ni saya hanya terima sumbangan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia memang tak cukup untuk tampung perbelanjaan.

“Sawit pula kadang-kadang tak keluarkan hasil langsung...saya buntu nak teruskan hidup, fikirkan macam mana nak tanggung ibu. Saya juga terpaksa tangguh rawatan sebabkan kekangan duit,” katanya

Sementara itu, rakannya, Mohamed Shaipudin Baba, 50, berkata, sebagai rakan dia berharap Norhadisam kembali sihat dan sembuh daripada penyakitnya itu.

“Saya nak lihat dia mampu bekerja semula. Walaupun sebelah kakinya kirinya tidak dipotong, tapi dia rasa sakit bila berjalan. Itu antara penyebab dia tak dapat bekerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, dia berharap ada pihak yang sudi membantu biaya perubatan dan mencari orang yang boleh mengubat penyakit kulit rakannya itu.

Orang ramai yang ingin hulurkan sumbangan bolehlah menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional  (BSN) Norhadisam Mohamed Isa 156244033532

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI BUAYA - Kisah lima beradik tidur di atas lantai simen yang tular di laman sosial Facebook terus mendapat perhatian masyarakat.
  • PERAK TENGAH - Madrasah Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abd Ghani, Kampung Seri Kaya Bota Kiri, di sini, masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan bangunan fasa kedua sekolah berkenaan.
  • JERANTUT - Dua beradik terpaksa melalui pengalaman pertama kali membeli pakaian sekolah sendiri selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dalam tempoh tujuh bulan.
  • KEMAMAN - Walaupun usianya sudah empat tahun, namun berat badan seorang kanak-kanak sumbing, Ajmal Salsabila Abdul Aziz yang juga anak kelima dari tujuh beradik cuma enam kilogram (kg) sahaja.
  • JOHOR BAHRU - “Saya buntu kontrak kerja saya sebagai tukang cuci sudah tidak disambung sejak dua bulan yang lalu,” luah Juraidah Jaimis, 40.