[VIDEO] Gembirakan pelanggan, peniaga tepung pelita tawar 50 hadiah setiap hari

MELAKA – Seorang peniaga Inn Tepung Pelita di One Krubong di sini mencipta kelainan apabila menawarkan 50 hadiah setiap hari kepada pelanggan bertuah menerusi kad gores dan menang.
Azlina Abdullah, 49, berkata, inisiatif tersebut sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan selain meneruskan tradisi pemberian sampul duit raya yang dilakukan setiap tahun.
Menurutnya, pelanggan yang membeli tiga pek tepung pelita di kedainya berpeluang menerima hadiah berupa bekas makanan dan minuman.
“Sebelum ini, bermula 10 Ramadan kita beri sampul duit raya dan tahun ini pun sama, cuma pada awal Ramadan ini kita tambah dengan gores dan menang.
“Gores dan menang ini sekadar suka-suka untuk menggembirakan pelanggan. Belum ada orang buat seperti ini, jadi kita cuba cipta kelainan,” katanya yang telah empat tahun berniaga tepung pelita di lokasi berkenaan.

Azlina berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila 28 dulang tepung pelita yang diambil dari Kampung Kubang, Nilai, Negeri Sembilan habis terjual setiap hari.
“Harga sebungkus tepung pelita dijual RM7 manakala RM20 bagi tiga pek dan turut diberi peluang menyertai gores dan menang.
“Insya-ALLAH, pulangan itu tetap ada. Kita tidak terlalu berkira berniaga pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini memaklumkan beliau berulang-alik setiap hari mengambil bekalan dari Kampung Kubang ke Melaka untuk dijual bermula jam 3 petang sehingga menjelang waktu berbuka puasa.
Ujarnya, perniagaan tersebut bermula apabila seorang sahabat yang sebelum ini berniaga di lokasi sama jatuh sakit sebelum memberi peluang kepadanya untuk meneruskan jualan berkenaan di Melaka.
“Pada hari biasa saya berniaga sarapan pagi di Alor Gajah dan hanya menjual tepung pelita pada Sabtu dan Ahad.
“Pada bulan Ramadan ini saya berniaga tepung pelita setiap hari dan dijangka sehingga 27 Ramadan bergantung kepada bekalan,” katanya.
Mengulas mengenai keputusannya tidak menyertai bazar Ramadan, Azlina berkata, faktor kesukaran parkir dan kesesakan menjadi pertimbangan utama.
Jelasnya, dengan berniaga di tepi jalan, orang ramai boleh singgah membeli dan terus beredar, sekali gus memudahkan pelanggan.
Ringkasan AI
- Seorang peniaga Inn Tepung Pelita di Melaka menawarkan 50 hadiah setiap hari melalui kad gores kepada pembeli
- Azlina Abdullah mengambil inisiatif ini sebagai penghargaan kepada pelanggan
- Pelanggan berpeluang menang hadiah apabila membeli tiga pek tepung pelita
- Sambutan terhadap inisiatif tersebut menggalakkan dengan 28 dulang tepung pelita habis terjual setiap hari
- Azlina memutuskan untuk tidak menyertai bazar Ramadan kerana faktor kesesakan dan kesukaran parkir, memilih berniaga di tepi jalan untuk kemudahan pelanggan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


