Khidmat terakhir seorang anak, Irsyaad imamkan solat jenazah bapa

Muhammad Irsyaad Mohd Shahrol Anuar, 16, mengimbau detik ibunya meminta dia mengimamkan solat jenazah bapa yang maut dalam kemalangan pada 10 Februari lalu.
Muhammad Irsyaad Mohd Shahrol Anuar, 16, mengimbau detik ibunya meminta dia mengimamkan solat jenazah bapa yang maut dalam kemalangan pada 10 Februari lalu.
A
A
A

MELAKA - “Mak peluk saya, pegang pipi saya sambil menangis dan cakap, ‘Irsyaad, imamkan solat jenazah abah ya. Abah rindu sangat dengan Irsyaad.

Itu luahan Muhammad Irsyaad Mohd Shahrol Anuar, 16, mengimbau detik ibunya meminta dia mengimamkan solat jenazah bapa yang maut dalam kemalangan pada 10 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, maut selepas motosikal Honda EX5 yang ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Myvi yang dipercayai mengalami ‘microsleep’ sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru di sini.

Pelajar Madrasah Helyatil Auliya’ Ad Diniah Al Arabiah itu berkata, peluang mengimamkan solat jenazah bapanya disifatkan sebagai khidmat terakhirnya sebagai seorang anak.

Muhammad Irsyaad (tiga dari kiri) menerima sumbangan pada pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan di Masjid Sayyidina Ali pada Selasa. Foto: Sinar.
Muhammad Irsyaad (tiga dari kiri) menerima sumbangan pada pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan di Masjid Sayyidina Ali pada Selasa. Foto: Sinar.

“Memang selalunya imam lain yang akan mengetuai solat jenazah. Tapi bila mak peluk saya dan cakap macam itu, saya jadi sedih.

“Saya beritahu atuk dan pak cik, saya minta untuk imamkan sendiri solat jenazah itu. Alhamdulillah, dapat juga saya tunaikan. Itulah bakti terakhir saya kepada abah,” ujarnya sebak.

Beliau ditemui pada Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan anjuran Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD) bersama World Youth Foundation serta Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) di Masjid Sayyidina Ali pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Muhammad Irsyaad turut menerima beberapa sumbangan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada majlis berkenaan.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi World Youth Foundation, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Berkongsi lanjut, anak kedua daripada empat beradik itu berkata, kali terakhir dia bertemu arwah bapanya kira-kira sebulan lalu ketika mahu kembali pulang ke madrasah.

“Itu kali terakhir saya salam dan peluk abah. Dia sempat pesan supaya jaga diri.

“Sepatutnya sebelum Ramadan saya balik dan dapat sambut puasa bersama abah, tapi tak sangka abah pergi lebih awal,” katanya.

Kongsinya lagi, arwah sempat menyediakan sambal penyet dalam kuantiti banyak beberapa hari sebelum kejadian.

“Masa itu mak tanya kenapa masak banyak sangat. Abah jawab, agaknya masa kita dah tak lama dah,’” katanya.

Tambahnya, antara kenangan paling tidak dapat dilupakan bersama arwah ketika Ramadan ialah berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama.

“Awal Ramadan biasanya kami akan balik kampung untuk berbuka dan solat tarawih bersama. Kadang-kadang solat di masjid, kadang-kadang surau di rumah nenek.

“Sekarang rasa sunyi, macam tak ada orang sahur sebelah kita lagi,” katanya.

Menggambarkan peribadi bapanya, Muhammad Irsyaad berkata, arwah seorang yang lembut dan penyayang, namun tegas dalam soal agama.

“Abah tak garang sangat. Kalau marah pun sekejap saja, lepas itu dia senyum balik.

“Tapi dalam hal ibadah dan agama, dia memang tegas. Dia nak anak-anak jadi lebih baik daripada dia,” katanya.

Dia meluahkan rasa syukur apabila keadaan keluarganya terutama ibunya kini semakin tenang menerima takdir.

“Alhamdulillah, setakat ini mak dah semakin tenang. Cuma beban tugas makin bertambah kerana perlu menguruskan anak-anak sendirian, mengambil dan manghantar anak-anak ke sekolah, selain hal rumah dan urusan kerja.

“Kami sekeluarga akan terus kuat untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Muhammad Irsyaad Mohd Shahrol Anuar, 16, mengimamkan solat jenazah bapanya yang meninggal dalam kemalangan
  • Ibunya meminta Irsyaad mengimamkan solat jenazah sebagai khidmat terakhirnya kepada bapanya
  • Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, maut selepas motosikalnya dirempuh oleh sebuah Perodua Myvi
  • Muhammad Irsyaad menerima sumbangan dalam sebuah program tanggungjawab sosial korporat
  • Irsyaad menyifatkan bapanya sebagai orang yang lembut, penyayang, namun tegas dalam soal agama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!