Pelajar IKM Tan Sri Yahaya Ahmad cipta cerucuk tiruan siput gondang emas

Muhammad Irfan Hafizin (dua dari kiri), pensyarah bersama ahli kumpulannya menunjukkan projek inovasi mereka yang mendapat pengiktirafan.
Muhammad Irfan Hafizin (dua dari kiri), pensyarah bersama ahli kumpulannya menunjukkan projek inovasi mereka yang mendapat pengiktirafan.
A
A
A

PEKAN – Sekumpulan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Tan Sri Yahaya Ahmad, di sini berjaya mencipta alat dinamakan cerucuk tiruan siput gondang emas bagi mengawal populasi perosak di sawah padi.

Ketua kumpulan, Muhammad Irfan Hafizin Roslan, 24, berkata, idea itu tercetus selepas memerhati kesan serangan terhadap anak benih.

"Sebagai inovator TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), kami menghasilkan cerucuk tiruan selepas melihat penggunaan racun menjejaskan ekosistem sawah dan rantaian makanan.

"Jadi, alat ini direka bagi menarik dan memudahkan pengumpulan siput, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia," katanya ketika ditemui pemberita di IKM Tan Sri Yahaya Ahmad, di sini pada Selasa.

Cerucuk Tiruan Siput Gondang Emas yang dihasilkan telah memenangi beberapa pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan kementerian.

Terbaharu, alat berkenaan merangkul Naib Johan dalam pertandingan Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (AIPA) bagi kategori teknikal.

Telur siput gondang emas yang melekat pada paip PVP selepas alat itu dipasang di sawah.
Telur siput gondang emas yang melekat pada paip PVP selepas alat itu dipasang di sawah.

Bercerita lanjut, pelajar Diploma Kompetensi Elektrik (Domestik dan Industri) berkata, projek itu dihasilkan bersama sembilan rakannya menggunakan teknologi lakaran dan pencetak 3D bagi membina prototaip fizikal sebelum ia dihasilkan sepenuhnya untuk kegunaan di sawah.

Artikel Berkaitan:

"Proses penyelidikan dan pemerhatian mengambil masa selama sebulan untuk mengenal pasti punca masalah, manakala fasa produksi pula memakan masa antara dua hingga empat minggu.

"Kami berharap inovasi ini dapat menjadi langkah pencegahan yang lebih mudah bagi membantu pesawah meningkatkan produksi tanaman mereka," jelasnya.

Nur Izan Sariy Ridzuan, 20, berkata, inovasi tersebut menyokong teknologi hijau kerana ia dapat mengurangkan pencemaran air, memelihara biodiversiti sawah dan mengekalkan kesinambungan ekosistem.

Ujar pelajar Diploma Mekatronik Sistem Kawalan, kaedah ini juga mempunyai kos efektif, lestari dan menyokong pertanian mesra alam jangka panjang.

"Projek itu dianggarkan bernilai RM70 dan bahan utama terdiri daripada paip polivinil klorida (PVC).

"Pemilihan bahan ini menjadikan struktur kukuh, tahan air dan ekonomik untuk aplikasi lapangan," katanya lagi.

Muhammad Irfan Hafizin (tengah) bersama dua lagi ahli kumpulan memasang cerucuk tiruan siput gondang emas di sawah padi di Pekan pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Khairuddin (kiri) dan Emi Faizal
Muhammad Irfan Hafizin (tengah) bersama dua lagi ahli kumpulan memasang cerucuk tiruan siput gondang emas di sawah padi di Pekan pada Selasa. Gambar kecil: Mohd Khairuddin (kiri) dan Emi Faizal

Bagi pesawah, Mohd Khairuddin Zakaria, 60, dari Kampung Serandu, dia menyambut baik ciptaan berkenaan dan berharap penggunaan alat ini dapat diperluas agar lebih ramai petani boleh menggunakannya.

“Siput gondang antara perosak paling ketara di jelapang padi dan setiap pesawah perlu ada inisiatif sendiri untuk menguruskannya.

"Alat ini memudahkan pengumpulan dan pelupusan perosak berbanding kaedah tradisional menggunakan batang atau pelepah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Emi Faizal Mohd Borham berkata, projek pelajar IKM itu satu inovasi baik kerana mampu membantu pesawah mengurus populasi siput gondang.

Menurutnya, alat berkenaan boleh dijadikan tempat bertelur bagi siput sebelum dikutip dan dimusnahkan oleh pengusaha sawah.

"Siput gondang merupakan musuh utama tanaman padi, terutama pada 30 hari pertama pertumbuhan.

"Penggunaan alat ini dijadikan alternatif kaedah kawalan, selain menggalakkan petani supaya tidak terlalu bergantung kepada racun kimia yang boleh menjejaskan pengusaha sawah dan alam sekitar," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pelajar IKM Tan Sri Yahaya Ahmad cipta cerucuk tiruan siput gondang emas untuk kawal populasi perosak di sawah padi
  • Idea inovasi tercetus untuk mengurangkan kebergantungan kepada racun kimia yang merosakkan ekosistem
  • Cerucuk tersebut memenangi beberapa pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan kementerian termasuk Naib Johan AIPA
  • Inovasi ini menyokong teknologi hijau dan dikatakan efektif, lestari serta ekonomik dengan menggunakan bahan PVC
  • Projek disambut baik oleh pesawah dan dipuji sebagai inovasi yang membantu mengurus populasi siput gondang serta memelihara ekosistem sawah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!