Lelaki pakai baju tidur wanita dicekup khalwat dengan janda pagi Ramadan

JAINJ cekup seorang lelaki berbaju tidur wanita yang disyaki berkhalwat dengan seorang janda di sebuah bilik sewa di rumah kedai di Skudai.
JAINJ cekup seorang lelaki berbaju tidur wanita yang disyaki berkhalwat dengan seorang janda di sebuah bilik sewa di rumah kedai di Skudai.
A
A
A

JOHOR BAHRU – "Saya pakai baju wanita yang dipinjam sebab lebih selesa dipakai".

Demikian kata seorang lelaki yang dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dengan seorang janda di sebuah bilik sewa di rumah kedai di Skudai.

Menurut JAINJ, serbuan dilakukan pada jam 11 pagi Isnin selepas pihaknya mendapat aduan orang awam.

"Sebaik tiba, pintu gril di tingkat bawah rumah kedai berkenaan berkunci sebelum penguat kuasa berjaya masuk dan naik ke tingkat atas.

"Selepas mengetuk beberapa bilik, penguat kuasa membuka salah satu bilik lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai baju tidur wanita.

"Pada awalnya disangka wanita, namun pemeriksaan lanjut mengesahkan individu berkenaan ialah lelaki berdasarkan suara, potongan rambut serta pengenalan diri," katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, seorang wanita ditemui berdiri di belakang pintu bilik, turut memakai baju tidur wanita dan kelihatan cemas.

Pemeriksaan lanjut mendapati katil dalam keadaan tidak terurus, manakala pakaian lelaki dan wanita bercampur di dalam almari.

Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 20-an itu masih bujang dan bekerja di Johor Bahru, manakala wanita berusia lingkungan sama berstatus janda bercerai dan juga bekerja di Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

"Mereka mengaku bukan suami isteri dan tinggal bersama di bilik berkenaan sejak lebih sebulan lalu.

"Pasangan terbabit memaklumkan mereka menyewa bilik berkenaan pada kadar RM450 sebulan termasuk bil utiliti bagi menjimatkan kos sara hidup.

"Apabila ditanya tujuan berada bersama di dalam bilik, kedua-duanya mendakwa tidak melakukan sebarang perbuatan dan memaklumkan mereka sedang berpuasa.

"Lelaki berkenaan turut memberi alasan memakai pakaian wanita kerana lebih selesa," ujarnya.

Pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana disyaki berkhalwat pada siang hari bulan Ramadan.

 

Ringkasan AI

  • Lelaki dicekup bersama janda kerana disyaki berkhalwat di rumah kedai di Skudai
  • Serbuan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dilakukan selepas aduan orang awam
  • Lelaki itu memakai baju tidur wanita kerana mendakwa lebih selesa
  • Kedua-dua penghuni bilik berstatus bujang dan janda dan menyewa bilik tersebut untuk menjimatkan kos
  • Pasangan itu ditahan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor untuk siasatan berkaitan kes berkhalwat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!