Isu rumah tangga libat exco: Kerajaan Pulau Pinang serah kepada polis

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung penahanan seorang Exco atas satu dakwaan melibatkan isu keluarga.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya bagaimanapun memandang serius terhadap perkara tersebut.

Menurutnya, isu berkenaan difahamkan sebagai masalah keluarga antara pasangan suami isteri dan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis.

"Saya telah menerima mesej daripada Yang Berhormat berkenaan yang memohon maaf atas perkara yang diperkatakan.

"Saya difahamkan Yang Berhormat pun memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menyiasat laporan ini. Dan terkini saya dimaklumkan kedua-dua pihak pun telah menarik semula laporan masing-masing.

“Jadi setakat ini, itu sahaja yang saya boleh nyatakan. Kalau ada apa-apa perkembangan, kita berharap Yang Berhormat sendiri akan sentiasa memberi maklum balas kepada kami atau kepada parti dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama Liga Muslim Pulau Pinang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak mahu mendahului siasatan pihak berkuasa.

“Kalau dua-dua suami isteri ada apa-apa rancangan atau tindakan, kita menghormati proses itu,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada wakil rakyat berkenaan perlu mengambil cuti susulan isu tersebut, beliau berkata, perkara itu perlu difikirkan sewajarnya oleh wakil rakyat terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa polis pun sudah dapat kenyataan dan sebagainya.

"Peringkat ini kita tunggu mereka suami isteri fikirkan apa tindakan yang seterusnya, yang terbaik untuk keluarga mereka,” katanya lagi.

Terdahulu tular satu laporan polis berhubung tangkapan Exco berkenaan selepas isterinya membuat laporan polis yang mendakwa telah dipukul olehnya.

Laporan isteri kepada wakil rakyat tersebut turut tular di media sosial sejak Isnin.

Sinar Harian sedang mendapatkan komen wakil rakyat berkenaan.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pulau Pinang serah kepada polis siasatan dakwaan Exco pukul isteri
  • Isu dianggap masalah keluarga dan kedua-dua pihak telah buat laporan polis
  • Dua-dua pihak telah menarik semula laporan mereka
  • Kerajaan negeri menghormati proses undang-undang dan tidak campur tangan
  • Wakil rakyat yang terlibat disarankan pertimbangkan mengambil cuti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!