25 jenis kuih dijual RM1 sepeket

Onde-onde, kek batik, kek puding dan sekaya antara yang laris.
Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Onde-onde, kek batik, kek puding dan sekaya antara yang laris. Foto: ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Ketika ramai peniaga mengeluh kenaikan harga bahan mentah, seorang ibu tunggal di Jalan Taman Buaya, Pantai Cahaya Bulan di sini bagaimanapun kekal menjual kuih pada harga RM1 sepeket sempena Ramadan sejak enam tahun lalu.

Ros Asmarizan Mohd Nor, 41, berkata, idea menjual kuih pada harga mampu milik itu bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Masa itu saya fikir nak kongsi rezeki, nak bagi semua orang rasa.

“Alhamdulillah, masuk tahun ini sudah enam Ramadan saya kekalkan harga RM1 dengan kuantiti yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Ros Asmarizan menunjukkan kuih muih RM1 yang dijualnya. Foto:ADILA SHARINNI WAHID
Ros Asmarizan menunjukkan kuih muih RM1 yang dijualnya. Foto:ADILA SHARINNI WAHID

Ros Asmarizan yang mempunyai seorang anak berusia 12 tahun mengusahakan perniagaan itu bersama ibunya, Siti Maimumah Deraman, 65, selain dibantu adik, Rushamimi, 32, dan kakaknya, Roziana, 44.

Katanya, pada hari biasa, mereka menjual masakan barat tiga menu pada harga RM10 setiap petang hingga malam.

Khas sepanjang Ramadan, mereka menawarkan 25 jenis kuih tradisional dan moden yang dijual dengan harga RM1 sepeket.

Artikel Berkaitan:

Antara yang paling laris ialah onde-onde, kek batik, kek puding dan sekaya.

Menurutnya, walaupun harga santan, gula dan pelbagai jenis tepung meningkat, dia masih mampu mengekalkan harga dengan menghasilkan kuih dalam kuantiti besar setiap hari.

“Untung masih ada, cuma tak banyak dan memang niat nak kongsi rezeki.

“Kalau buat sendiri dengan keluarga dan beli bahan secara borong, masih boleh bertahan,” jelasnya.

Ros Asmarizan (kanan) melayani pelanggan yang membeli kuih RM1.
Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Ros Asmarizan (kanan) melayani pelanggan yang membeli kuih RM1. Foto: ADILA SHARINNI WAHID

Ros Asmarizan berkata, kira-kira 1,000 pek kuih mampu dijual setiap hari dan jumlah itu cukup untuk menampung kos operasi, termasuk kos mingguan sekitar RM500.

“Kami mula buat kuih seawal jam 10 pagi setiap hari sebelum buka gerai jam 3.30 petang hingga 7 malam.

“Tapi macam dua hari lalu, semua kuih habis terjual lebih awal,” kongsinya.

Ros Asmarizan mengakui pernah terlintas untuk menaikkan harga namun hasrat itu dibatalkan kerana pelanggan sudah sinonim dengan kuih RM1 yang diusahakannya sejak awal.

Nor Maziah (kanan) membayar kuih-muih RM1 yang dibeli di gerai Ros Asmarizan (kiri). Foto: ADILA SHARINNI WAHID
Nor Maziah (kanan) membayar kuih-muih RM1 yang dibeli di gerai Ros Asmarizan (kiri). Foto: ADILA SHARINNI WAHID

Sementara itu, pelanggan, Nor Maziah Muhamad, 46, berkata, harga murah dan rasa yang sedap mendorongnya membeli dalam jumlah banyak untuk keluarga.

“Murah sebab RM1, dengan RM10 pun dah boleh dapat macam-macam jenis kuih tradisional,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Seorang ibu tunggal di Kota Bharu menjual kuih RM1 sepeket sempena Ramadan sejak enam tahun lalu walaupun harga bahan mentah naik
  • Ros Asmarizan Mohd Nor memulakan perniagaan kuih pada harga mampu milik semasa Perintah Kawalan Pergerakan sebagai cara berkongsi rezeki
  • Menjual 25 jenis kuih tradisional dan moden sepanjang Ramadan dengan kekal mengekalkan harga RM1 sepeket
  • Mampu menjual kira-kira 1,000 pek kuih setiap hari untuk menampung kos operasi dengan bantuan keluarga dan beli bahan secara borong
  • Ros Asmarizan mengakui pernah terlintas untuk menaikkan harga tetapi memilih untuk kekal dengan harga RM1 demi pelanggan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!