Tiada kompromi, Kedah tegas tutup premis judi

Muhammad Sanusi (Laporan Sinar Harian.)
Muhammad Sanusi (Laporan Sinar Harian.)
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan kerajaan negeri Kedah menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di negeri ini tidak akan dipertimbangkan semula susulan terdapat gesaan segelintir pihak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu tersebut kerana judi hanya mendatangkan kerosakan dalam masyarakat.

Menurutnya, perjudian bukan isu membabitkan satu kaum sahaja, sebaliknya sudah merosakkan semua kaum di negara ini.

"Tidak ada pertimbangan semula atas keputusan yang dibuat sebelum ini. Ini bukan isu satu kaum, judi merosakkan semua kaum.

"Judi juga tidak pernah jadi alat yang membentuk keharmonian kaum, apa yang berlaku adalah sebaliknya" katanya ketika dihubungi, di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong meminta kerajaan Kedah mempertimbangkan semula keputusan tersebut bagi mengekalkan keharmonian kaum selain didakwa untuk mengawal masalah sosial.

Swee Leong dilaporkan berkata, tindakan menutup sepenuhnya premis judi akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana secara tidak langsung menggalakkan perjudian haram.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menempelak kenyataan Swee Leong dan meminta beliau kemukakan bukti bahawa perjudian boleh membentuk keharmonian kaum.

Artikel Berkaitan:

“Keharmonian kaum hanya boleh dibentuk melalui aktiviti integrasi di sekolah, sukan, seni budaya dan bahasa pertuturan yang sama.

"Suruh buktikan dulu judi boleh membentuk keharmonian kaum seperti didakwa," katanya.

Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Muhammad Sanusi turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021.

“Kita (kerajaan negeri) buat sebab ALLAH SWT suruh. Apa saya nak jawab depan ALLAH nanti kalau saya tak buat waktu saya diberi kesempatan untuk buat?

“Kita sudah buat keputusan. Kita jalan terus. Hangpa (mereka) nak koyak, biar lah. Hangpa nak kacau, saya tak takut,” ujarnya lagi.