Pengharaman judi tidak wujudkan situasi ketegangan kaum

Nurul Amin Hamid
Nurul Amin Hamid
A
A
A

ALOR SETAR - Pengharaman judi tidak wujudkan situasi ketegangan atau merosakkan keharmonian kaum seperti yang didakwa Setiausaha DAP negeri Kedah, Teh Swee Leong.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, Swee Leong pada Isnin menggesa supaya kerajaan negeri menimbang semula keputusan pengharaman judi di Kedah untuk mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.

Katanya, ia adalah kenyataan songsang yang bertentangan dengan etika masyarakat dan penekanan semua agama yang melarang judi.

"Sebagai contoh Kelantan dan Terengganu yang sudah lama mengharamkan judi, kita lihat tidak timbul isu ketegangan dan merosakkan keharmonian kaum," katanya dalam suatu kenyataan di sini pada Selasa.

Nurul Amin yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, aktiviti perjudian sebenarnya lebih merosakkan masyarakat dan institusi kekeluargaan sehingga mengheret pelaku melakukan apa sahaja untuk memenangi wang perjudian.

"Kenyataan Swee Leong sangat naif dan bertentangan dengan kehendak masyarakat Kedah yang mahukan sebuah negeri yang selamat, harmoni dan aman.

"Usaha Kedah menggantikan lesen premis perjudian perlu disokong oleh semua pihak termasuk parti politik dan NGO," katanya.

Menurutnya, kenyataan Swee Leong itu membayangkan seolah-olah DAP sebuah parti yang memberikan sokongan kepada aktiviti perjudian dalam negara.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, DAP masih berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di Kedah.

Swee Leong berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan semula bertujuan mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.

.