'Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat tak guna dana kerajaan negeri'

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat tidak menggunakan dana kerajaan negeri, sebaliknya hanya menggunakan dana parti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia berbeza dengan penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani yang menggunakan dana kementerian tertentu sebagai penganjur di enam negeri.

Menurutnya, lokasi penganjuran diadakan di premis parti bagi mengurangkan kos selain untuk berjimat cermat.

“Kita tak guna dana kerajaan negeri anjur Rumah Terbuka Pas Pusat. Saya nak maklum Perdana Menteri, kita buat jamuan di premis parti dengan perbelanjaan parti.

“Bukan duit kementerian macam jamuan raya Madani. Peruntukan kementerian kena buat untuk kementerian, macam Perdana Menteri boleh guna peruntukan itu tapi tak boleh guna buat program parti, sebab itu saya kata itu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan jamuan raya. Saya boleh guna duit kerajaan negeri tapi saya tak buat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau serta Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Muhammad Sanusi berkata, kepimpinan hendaklah ditunjukkan melalui teladan selain mengotakan apa yang diucapkan.

“Apa yang kita cakap, mesti kita buat. Apa yang kita tunjuk, kita kotakan bukan cakap benda lain buat benda lain.

“Rumah terbuka saya dan kerajaan negeri sepatah pun tak kempen PRN, ramai juga hadir, tahu dah mereka nak undi Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat mengajak ahli PN untuk mengekalkan istiqamah berdepan PRN.

“Marilah kita bekerja hanya 60 hari lagi nak hadapi PRN. Apa yang kita lakukan dalam kerajaan negeri setakat ini adalah paling baik yang kita mampu buat. Jom kita gandakan apa yang kita sudah lakukan.

“Kita bertanding semua kerusi DUN Kedah, saya percaya paling banyak Pakatan Harapan (PH) boleh menang pun tiga kerusi,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Perpaduan sudah menunjukkan ketidaksepakatan biarpun baharu lima bulan mentadbir.

“Baru lima bulan sudah bertelagah, antara percakapan dan perbuatan bertembung, ibarat cakap tak serupa bikin,” katanya.