'Kerajaan negeri tak kompeten, perlu ditukar'

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang dikatakan tidak kompeten sehingga Kerajaan Pusat terpaksa masuk campur mengubah keputusan yang dibuat kerajaan negeri dalam Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, selama ini beliau dan pimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) banyak menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap Projek PSI.

Namun katanya, kerajaan negeri terlalu sombong dan tidak mahu mendengar pandangan rakyat.

"Hari ini Perdana Menteri sendiri mengeluarkan kenyataan yang mengetepikan kerajaan negeri dan mengarahkan Projek PSI ini dikaji semula agar skopnya dapat dikurangkan.

"Maksudnya pandangan kami memang betul sejak awal lagi. Kalau kami tak tegas dan konsisten bersuara, saya rasa kerajaan negeri akan terus sombong dan tidak menghiraukan suara rakyat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, kerajaan negeri semakin hari semakin sombong kerana telah terlalu lama mentadbir negeri ini, dan mereka tidak sedar mereka sebenarnya sudah tidak kompeten untuk mentadbir.

Tegasnya, sudah sampai masa seluruh rakyat Pulau Pinang memberi peluang kepada PN untuk mentadbir Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengarahkan supaya Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) dikaji semula dan memperkecilkan skopnya.

Beliau katanya, mendengar semua keluh kesah mengenai projek tambakan laut ini.

"Kita, Ketua Menteri dan kerajaan negeri sudah ambil semua langkah dan memberi jaminan tentang kedudukan nelayan, masalah hakisan, masalah pembangunan semula perkampungan Melayu di beberapa tempat dan kawasan minoriti India dan Gertak Sanggul dengan majoriti orang Cina.

"Tetapi alasan rasional yang diberikan ialah bahawa Kerajaan Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak beri dana yang cukup terutama dalam pembangunan infrastruktur yang mendesak untuk Pulau Pinang.

"Saya telah teliti dengan rakan-rakan jemaah menteri dan oleh itu saya ambil kesempatan di sini untuk mengumumkan bagi meredakan permasalahan ini, supaya projek tambakan laut ini dapat dikaji semula dan diperkecilkan skopnya," katanya.

Terdahulu, Anwar turut mengumumkan Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar bagi melaksanakan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.

Anwar berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

"Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar bagi membolehkan kerajaan negeri dengan segera untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang," katanya.