Chelsea mahu bawa pulang Piala FA

A
A
A

SETELAH mengecewakan Manchester United pada aksi separuh akhir kelmarin, Chelsea berazam untuk membawa pulang trofi Piala FA Inggeris musim ini apabila dijadualkan berdepan Arsenal pada aksi final di Wembley 1 Ogos depan.

Pengendali skuad The Blues, Frank Lampard berkata, berdasarkan kepada aksi dan prestasi semasa pasukan dia percaya kesebelasan anak didiknya itu akan memberikan aksi terbaik bagi merealisasikan misi membawa pulang trofi berkenaan.

Malah menurut Lampard, kejayaan menewaskan United sememangnya sesuatu yang hebat selain dibantu oleh kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan penjaga gol United, David De Gea.

“Kemenangan ini adalah pencapaian hebat untuk kami. Memenangi separuh akhir adalah sesuatu yang hebat tetapi memenangi aksi final nanti adalah kehebatan yang sebenarnya.

"Kami juga tahu, pasukan kami juga sedang melalui progres yang cukup baik dan menjadi semakin baik ketika ini setelah berjaya mengharungi beberapa halangan serta rintangan.

"Kami akan tetap cuba untuk memenangi aksi final nanti kerana kami telah tunjukkan banyak peningkatan tahun ini. Namun, buat masa ini, kami perlu fokus pada tiga aksi domestik terakhir kami," katanya.

Untuk rekod, Chelsea menewaskan Manchester United 3-1 pada aksi separuh akhir kelmarin yang turut menyaksikan penjaga gol United, David De Gea melakukan kesilapan mudah hingga melepaskan gol kepada The Blues.

Sementara itu Lampard menggesa kelabnya itu untuk membina semula potensi pasukan supaya dapat mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kali ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, skuad The Blues itu bakal berkunjung ke Allianz Arena bagi berdepan Bayern Munich bagi aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik.

"Biarpun tewas 0-3 pada aksi pertama di Stamford Bridge. Oleh itu kami akan cuba untuk membina semula potensi pasukan menjelang perlawanan dengan Bayern," katanya.