Pesara guru rugi RM249,682 ditipu sindiket khidmat pembersihan

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang pesara guru kerugian sebanyak RM249,682 selepas terpedaya dengan sindiket perkhidmatan pembersihan rumah tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, wanita berusia 59 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan tawaran perkhidmatan pembersihan rumah di platform media sosial Facebook pada 13 April lalu.

"Mangsa kemudiannya telah berurusan dengan seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dan dikehendaki menekan pautan yang diberikan.

"Tujuan pautan tersebut adalah sebagai proses permohonan dan pembayaran atas perkhidmatan tukang cuci yang ditawarkan.

"Suspek telah meminta mangsa memasukkan butiran diri dan maklumat perbankan, namun mangsa mendapati proses pembayaran gagal disebabkan pautan tersebut bermasalah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Ismail, pihak bank seterusnya menghubungi mangsa dan dimaklumkan terdapat pindahan wang RM249,682 secara berperingkat tetapi tidak disedari mangsa.

"Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

"Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati apabila menekan sebarang pautan dan tidak memberi maklumat peribadi diri serta perbankan kepada mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

"Buat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu jika terdapat keraguan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!