KWSP perkenal Akaun Fleksibel, keluar simpanan bila-bila masa

Tempoh ahli KWSP buat pindahan baki ke Akaun Fleksible sehingga 31 Ogos 2024.
Tempoh ahli KWSP buat pindahan baki ke Akaun Fleksible sehingga 31 Ogos 2024.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan akaun Fleksibel yang mana membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Menurut kenyataan KWSP, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Katanya, pada tarikh kuat kuasa struktur akaun baharu iaitu 11 Mei 2024, Akaun Fleksibel ahli akan bermula dengan baki sifar.

"Bagaimanapun, ahli diberikan pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan yang ada dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini akaun dua) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.

"Tempoh bagi ahli KWSP yang ingin membuat pindahan tersebut bermula pada 11 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024," ujarnya pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, tujuan diberikan pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah bagi membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu.

"Amaun yang akan dipindahkan adalah berdasarkan baki Akaun Sejahtera ahli semasa pilihan ini dibuat.

"Kaedah pindahan adalah mengikut dua pecahan iaitu pertama baki ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera manakala yang kedua baki dalam akaun sama adalah kurang dari RM3,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi RM3,000 keatas 10 per 30 daripada baki dalam itu akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel, Lima per 30 dipindahkan ke Akaun Persaraan dan 15 per 30 akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

"Berbeza dengan baki akaun kurang dari RM 3,000 yang mana Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

"Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000. Bagaimanapun, baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera," ujarnya.

Jelas kenyataan itu lagi, tiada pindahan akan dibuat ke Akaun Persaraan bagi simpanan dalam Akaun Sejahtera yang kurang dari RM3,000.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Soalan Lazim di www.kwsp.gov.my atau aplikasi KWSP i-Akaun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!