[VIDEO] Anak bongsu Noor Rahiza tidak henti-henti panggil 'mama'

A
A
A

YAN - [DIKEMAS KINI] Anak bongsu Allahyarham Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar tidak henti-henti memanggil 'mama' ketika pengebumian jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, di sini.

Tindakan Nur Qistina Afia Mohd Azinor, 6, yang menangis teresak-esak dan memanggil ibunya itu meruntun jiwa dan mengundang rasa pilu orang ramai yang berada di tanah perkuburan itu.

Nur Qistina (dua kiri) membaca doa untuk arwah ibunya di di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, di sini.
Nur Qistina (dua kiri) membaca doa untuk arwah ibunya di di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam, Kampung Ruat, di sini.

Beberapa ahli keluarga dilihat cuba menenangkan kanak-kanak itu namun Nur Qistina tidak dapat menahan kesedihan seakan-akan mengerti ibunya telah pergi mengadap Illahi.

Suasana di tanah perkuburan itu kemudiannya bertukar sepi tatkala Nur Qistina membacakan beberapa surah ringkas termasuklah surah Al-Fatihah untuk arwah ibunya.

Sebaik mendengar bacaan Nur Qistina, ahli keluarga, sanak saudara, rakan, penduduk setempat terdiam sebelum bersama-sama mengaminkan doa terbabit.

Nur Qistina ditemani dua kakak kembarnya, Nur Qistina Auni dan Nur Qistina Awliya, 16, serta abangnya, Muhammad Qisti Afif, 15, serta ahli keluarga lain.

Artikel Berkaitan:

Turut mengiringi jenazah, suami Allahyarham, Mohd Azrinor Azizan.

Bapa Allahyarham,Anuar Hassan, 70-an juga memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan itu.

Pada Rabu, Noor Rahiza selamat dikebumikan pada jam 9.55 malam berhampiran pusara ibu tercinta, Ratipa Yahaya yang meninggal dunia pada Julai tahun lepas.

Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan serta penduduk turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!