Sukma 21: Sarawak anggar kos RM300 juta

Majlis Kunjung Hormat Jawatankuasa Induk Sukma dan Para Sukma ke-21 di Negeri Sembilan sempena Promosi Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024.
Majlis Kunjung Hormat Jawatankuasa Induk Sukma dan Para Sukma ke-21 di Negeri Sembilan sempena Promosi Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024.
A
A
A

SARAWAK menganggarkan kos penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang bakal berlangsung di negeri itu pada 17 hingga 24 Ogos ini, hampir RM300 juta.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kos itu melibatkan antaranya menaik taraf venue sukan, penganjuran serta logistik.

Menurutnya, penganjuran Sukma itu akan akan berlangsung di sembilan daripada 12 bahagian di Sarawak iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

"Selain itu, persiapan penganjuran Sukma kali ini berjalan lancar, terdapat fasiliti sukan baharu dalam pembinaan dan dijangka siap pada Jun termasuk kerja naik taraf venue sukan lain.

"Perkara yang perlu diperhalusi adalah logistik membabitkan pergerakan kontinjen negeri-negeri yang terlibat pada Sukma ini dapat berjalan dengan baik," katanya pada Khamis di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kunjung Hormat Jawatankuasa Induk Sukma dan Para Sukma ke-21, sempena Promosi Sukma dan Para Sukma Sarawak 2024 yang disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Nordin.

Abdul Karim berkata, pada masa ini infrastruktur jalan raya di Sarawak bertambah baik termasuk Lebuhraya Pan Borneo hampir 100 peratus siap.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan menyertai 30 daripada 37 acara yang dipertandingkan dalam Sukma kali ini dengan penyertaan 500 kontinjen termasuk sekretariat, pasukan perubatan, pengurus pasukan, jurulatih dan atlet.

"Bagi Sukma kali ini, kita meletakkan sasaran ranking di bawah 10, serta sasaran pingat emas melebihi 19 pingat.

"Saya berharap kontinjen negeri dapat membuktikan kemampuan kontinjen kali ini untuk berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, antara acara disertai adalah akuatik, skuasy, badminton, tenpin boling, berbasikal, wushu, bola keranjang, sofball, tenis dan bola sepak.

Kontinjen negeri dijangka bertolak ke Sarawak secara berperingkat mulai 8 Ogos ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!