Seramai 187 guru lepasan IPG ditempatkan di Sabah

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin menyampaikan surat penempatan kepada seorang guru pada majlis Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Baharu Sekolah Rendah, hari ini. - Foto Bernama
Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin menyampaikan surat penempatan kepada seorang guru pada majlis Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Baharu Sekolah Rendah, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 187 graduan lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) pada tahun lepas berjaya ditempatkan di beberapa sekolah rendah di seluruh Sabah yang berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Mistirine Radin berkata, penempatan graduan itu bagi sesi tahun ini berdasarkan keperluan opsyen dan lokaliti daerah yang kritikal sebagai keutamaan kriteria pelantikan dan penempatan itu.

Beliau berkata, pengkhususan opsyen guru-guru baharu itu termasuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Kadazandusun, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Pendidikan Muzik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Khas.

“Dengan kemasukan guru-guru baharu ini, guru sekolah rendah anak tempatan kelahiran Sabah sudah mencapai 86.81 peratus. Ini selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia Dasar 90:10 bagi merealisasikan 90 peratus guru di Sabah adalah anak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Baharu Sekolah Rendah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini hari ini.

Mistirine turut mengingatkan kepada guru-guru baharu itu agar sentiasa mengamalkan etika profesion perguruan dan mematuhi peraturan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan serta Perintah Am walau di mana pun mereka berada.

Sementara itu, seorang daripada guru baharu itu Awangku Ahmad Awang Bujang, 24, dari IPG Tun Hussien On, Batu Pahat, Johor yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Salinatan, Nabawan berkata, dia pertama kali mendengar nama sekolah berkenaan.

Berasal dari daerah Beaufort, pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Limauan, Kimanis yang mengambil opsyen Pendidikan dengan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) akan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kehadiran saya di sekolah itu, saya harap akan dapat membantu penguasaan bahasa Inggeris murid-murid di sana selain berkongsi pengetahuan dengan pihak sekolah,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Bagi Rekel Regina, 26, yang ditempatkan di SK Sabur Pulau Banggi, Kudat berkata walaupun berasal dari daerah yang sama namun beliau tidak pernah sampai ke sekolah berkenaan.

Graduan dari IPG Batu Lintang, Kuching itu berkata buat sementara beliau akan berulang-alik ke sekolah berkenaan sebelum memutuskan untuk menetap di pulau itu. - Bernama