Dasar jaminan bank dikhuatiri tekan pengusaha tempatan agensi umrah-PAUHS

KOTA KINABALU – Persatuan Pengusaha Agensi Umrah dan Haji Sabah (PAUHS) memandang serius pelaksanaan syarat jaminan bank berjumlah RM250,000 untuk memperbaharui lesen yang berpotensi memberi kesan besar kepada pengusaha agensi umrah tempatan, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Presidennya, Nor Azmi Abi Shafian berkata, pelaksanaan syarat jaminan bank pada kadar tinggi menimbulkan kebimbangan terhadap keseimbangan dan masa depan ekosistem industri umrah.
Menurut Nor Azmi, pendekatan itu berisiko memusatkan industri kepada pemain bermodal besar serta menyekat peranan pengusaha kecil dan sederhana yang beroperasi secara beretika dalam memudahkan akses masyarakat menunaikan umrah.
“Jika tidak dinilai segera, dasar ini berisiko membentuk landskap industri yang kurang kompetitif apabila kekuatan modal menjadi penentu utama kelangsungan, bukannya rekod integriti atau kualiti perkhidmatan, sekali gus boleh melemahkan dinamika pasaran dan menghakis semangat keusahawanan dalam kalangan pemain tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Nor Azmi menegaskan bahawa berdasarkan pemerhatian industri, kes penipuan umrah lebih kerap dilaporkan melibatkan agensi yang berpangkalan di Semenanjung, manakala kes yang melibatkan pengusaha dari Sabah dan Sarawak jarang berlaku.
“Justeru, pelaksanaan dasar secara menyeluruh tanpa mengambil kira corak risiko yang berbeza boleh menimbulkan persepsi ketidakadilan serta memberi beban yang tidak seimbang kepada pengusaha di Borneo.
“Kawal selia yang berkesan harus bersifat strategik dan tepat sasaran, dengan memfokuskan kepada pihak yang berisiko, bukannya menghasilkan kesan menyeluruh yang turut menekan agensi berrekod baik.
“Dalam konteks ini, pendekatan sedia ada wajar diperhalusi agar matlamat perlindungan pengguna dapat dicapai tanpa menjejaskan kelangsungan pemain industri yang patuh,” katanya.
Sehubungan itu, PAUHS berpandangan bahawa keperluan ini wajar dikaji semula secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih seimbang, bagi mengelakkan kesan tidak diingini terhadap struktur industri dalam jangka masa panjang.
“Bagi memastikan keseimbangan tersebut, kami menggesa agar pihak berkuasa mempertimbangkan pengiktirafan terhadap instrumen perlindungan alternatif seperti skim insurans, yang mampu memberikan jaminan kepada jemaah tanpa menjejaskan keupayaan kewangan pengusaha kecil.
“Sesi libat urus industri yang lebih menyeluruh dan berstruktur perlu diadakan sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan, supaya pelaksanaannya benar-benar mencerminkan keperluan sebenar industri.
“Pendekatan penguatkuasaan berasaskan data dan risiko, dengan menumpukan tindakan kepada agensi bermasalah agar pengusaha berintegriti tidak turut menanggung beban dasar,” katanya.
Nor Azmi berkata, industri umrah bukan sekadar sektor ekonomi, sebaliknya merupakan amanah besar dalam mengurus perjalanan ibadah umat Islam.
“Oleh itu, setiap keputusan dasar harus memperkukuh keyakinan, memelihara kestabilan industri dan memastikan peluang kekal terbuka kepada pengusaha yang berdaya saing serta berintegriti,” katanya
Ringkasan AI
- PAUHS serius dengan syarat jaminan bank RM250,000 yang mempengaruhi pengusaha umrah di Sabah dan Sarawak
- Pelaksanaan syarat jaminan tinggi menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan dan keseimbangan ekosistem industri umrah
- Dasar ini berisiko menyekat peranan pengusaha kecil dan sederhana serta membentuk industri yang kurang kompetitif
- Menurut Nor Azmi, penipuan umrah lebih kerap berlaku di Semenanjung berbanding dengan Sabah dan Sarawak yang jarang
- PAUHS mencadangkan penilaian semula syarat tersebut dan penggunaan pendekatan lebih seimbang seperti skim insurans
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
