Tarif elektrik naik tapi bekalan tidak stabil, kos sara hidup meningkat-Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) mempersoalkan keputusan kerajaan Sabah menaikkan tarif elektrik ketika bekalan elektrik di negeri ini masih tidak stabil dan kos sara hidup rakyat terus meningkat.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan menyifatkan kenaikan tarif elektrik itu sebagai tidak dapat dielakkan dan berimpak minimum.
"Namun, apabila perkhidmatan asas masih belum mencapai tahap yang memuaskan, alasan tersebut tidak boleh diterima.
"Apabila perkhidmatan asas gagal berfungsi dengan baik, rakyat tidak seharusnya diminta membayar lebih," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bekas ketua menteri itu berkata, kenaikan tersebut bukan sekadar melibatkan bil elektrik yang lebih tinggi bagi isi rumah dan industri.
"Ia juga akan meningkatkan kos operasi perniagaan, menaikkan harga barangan dan perkhidmatan, melemahkan perniagaan kecil serta mengurangkan kuasa perbelanjaan rakyat di seluruh Sabah.
"Persoalan sebenar ialah sama ada kerajaan telah menangani punca utama masalah dalam sistem bekalan elektrik Sabah sebelum memindahkan beban kos kepada pengguna," tegasnya.
Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang berkata, Sabah sangat bergantung kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).
"Banyak perjanjian bekalan tenaga dimeterai bertahun-tahun lalu dan wajar disemak semula bagi memastikan Sabah tidak menanggung kos yang lebih tinggi daripada sepatutnya," katanya.
Sehubungan itu, Warisan menggesa kerajaan negeri menjelaskan secara telus asas pengiraan tarif baharu tersebut dan menyemak perjanjian IPP serta meningkatkan kecekapan serta pengurusan dalam Sabah Electricity (SE).
"Elektrik adalah keperluan asas. Rakyat Sabah tidak seharusnya dipaksa membayar lebih selagi masalah bekalan masih berlarutan," ujarnya.
Sebelum itu, tarif elektrik baharu bagi Sabah dan Labuan dilaksanakan bermula 1 Februari lalu dengan kadar purata tarif asas diselaraskan kepada 39.70 sen bagi setiap kilowatt jam (kWj) berbanding 34.52 sen/kWj sebelum ini.
Ringkasan AI
- Parti Warisan persoal kenaikan tarif elektrik di Sabah ketika bekalan elektrik tidak stabil dan kos sara hidup meningkat
- Mohd Shafie Apdal menyatakan kenaikan itu tidak dapat dielakkan dengan impak minimum tetapi tidak dapat diterima dengan perkhidmatan asas yang tidak memuaskan
- Kenaikan tarif elektrik meningkatkan kos operasi perniagaan, harga barangan dan mengurangkan kuasa beli rakyat Sabah
- Shafie mencadangkan kerajaan perlu semak semula perjanjian bekalan tenaga dengan Pengeluar Tenaga Bebas untuk mengurangkan kos
- Warisan mendesak kerajaan negeri menjelaskan asas pengiraan tarif baru dan meningkatkan pengurusan dalam Sabah Electricity
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
