Penekanan di sekolah rendah beri impak besar terhadap antirasuah

Azhari (belakang, dua dari kiri) bersama guru dan murid pada Majlis Penyampaian Hadiah Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan di SK Si Rusa, Port Dickson pada Rabu.
Azhari (belakang, dua dari kiri) bersama guru dan murid pada Majlis Penyampaian Hadiah Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan di SK Si Rusa, Port Dickson pada Rabu.
A
A
A

PORT DICKSON - Pendedahan awal berkaitan pendidikan pencegahan rasuah bermula di peringkat sekolah rendah berupaya mendidik semua murid untuk menyemai sikap membenci amalan rasuah.

Pengerusi Rasuah Busters Negeri Sembilan, Azhari Haron berkata, ia berikutan penekanan terhadap rasuah di usia masih muda memberi impak besar dalam jiwa dan fikiran mereka sebelum melangkah ke alam dewasa.

"Semua sekolah ada menekankan pendidikan sivik dalam memperkukuhkan penerapan nilai-nilai murni melalui pengajaran dan pembelajaran

"Daripada situ, murid-murid diberi kefahaman mengenai sifat jujur bagi mengelakkan elemen rasuah berlaku kerana rasuah bukan sahaja membabitkan wang tetapi juga boleh berupa makanan, masa dan perbuatan yang mencalar integriti.

"Ia boleh berlaku dalam kalangan kita semua," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Penyampaian Hadiah Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Si Rusa di sini pada Rabu.

SK Si Rusa sebelum itu berjaya memenangi pertandingan tersebut yang diwakili oleh Nurul Adriana Safura Mohammad Zairi dan Nor Amir Hamzah Nor Affandi, masing-masing berusia 12 tahun, dibimbing oleh dua orang guru, Noor Syazana Taib dan Nor Aini Ismail.

Mereka dinobatkan antara lima Pembentang Terbaik Kategori Sekolah Rendah sekali gus menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain bertepatan slogan Anak Baik Lagi Cerdik (ABC) yang dibawa Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam pada itu Azhari berkata, kesan rasuah ini hanya dapat lihat dalam jangka panjang.

"Mungkin kita seronok dapat wang, boleh beri barang mewah, bercuti di luar negara, kongsi di media sosial menunjukkan gaya hidup mewah tetapi ia sebenarnya merosakkan diri sendiri,keluarga malah negara.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, anak-anak hiduplah dengan bermaruah, jangan menjadi penyebab kepada musibah negara dan orang lain. Kita perlu bersama-sama perangi rasuah demi masa hadapan yang lebih baik dan negara lebih makmur supaya semua nikmat kesejahteraan akan kita perolehi bersama," katanya.

Sementara itu Guru Besar SK Si Rusa, Radziah Bakar berkata, pihak sekolah sentiasa mengalu-alukan program berkaitan pendidikan anti rasuah malah bersedia memberikan slot khas untuk tujuan tersebut membabitkan murid sekolah supaya mesejnya sampai kepada golongan sasar.

"Pada pandangan saya biar anak-anak seawal usia daripada peringkat akar umbi supaya mereka terbiasa (antirasuah) sebab apabila meningkat dewasa mereka akan lebih faham.

"Kalau boleh kempen-kempen antirasuah ini datang ke sekolah bagi ceramah-ceramah kita galakkan kerana apa sahaja bentuk pendidikan memberi manfaat kepada anak murid itu memang sekolah sentiasa menerima (menyokong)," katanya.