Rapatkan jurang gaji graduan TVET

Perkeso bangunkan ‘Wage Guide’, ‘Carrier Bridge Tool’

A
A
A

No Image Caption

HAMPIR enam dekad sejak gagasan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) direalisasikan, bidang pekerjaan ini masih melalui pelbagai fasa pengukuhan demi menjamin kesaksamaan pasaran buruh.

Terbaharu, dua sistem yang menerapkan penggunaan teknologi terkini dibangunkan kerajaan bagi menghapuskan jurang gaji antara lepasan TVET dan graduan daripada bidang akademik lain.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata isu yang dikesan masih membelenggu lepasan TVET amat penting untuk dirungkai kerana pekerja berasaskan kemahiran adalah asas untuk Malaysia mencapai status negara maju.

Katanya, kejayaan kerajaan dalam merencana penyelesaian terbaik berhubung isu gaji dalam kalangan lepasan TVET bakal menjadi pemangkin perkembangan sains dan teknologi.

“Kita dapati hanya sebilangan kecil sahaja graduan daripada bidang TVET menerima gaji lebih RM2,000 sebulan, manakala sebilangan besarnya di peringkat kerjaya rendah dan sederhana dalam sesebuah organisasi.

“Isu jurang gaji ini jika tidak ditangani bakal memberi kesan kepada penyertaan pelajar bidang TVET dalam negara yang berkemungkinan mencetuskan persepsi bahawa prospek pekerjaannya tidak memberi pulangan baik.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun kerajaan memperkenalkan Program Daya Kerjaya dengan menawarkan inisiatif galakan kepada majikan untuk menggaji graduan TVET, ini sekadar menyelesaikan sudut permintaan,” katanya.

V SIVAKUMAR
V SIVAKUMAR

Menyedari isu ini, Sivakumar berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu agensi seliaan Kementerian Sumber Manusia mengorak inisiatif strategik dengan membangunkan sistem ‘Wage Guide’ dan ‘Carrier Bridge Tool’.

Jelasnya, kedua-dua sistem berkenaan direncana bagi meningkatkan prospek dan memperkasakan graduan TVET dalam pasaran pekerjaan, sekali gus diyakini berupaya merungkai isu jurang gaji sebelum ini.

Malah, katanya, inisiatif ini memperlihatkan komitmen Perkeso untuk menjadikan sektor pasaran pekerjaan tempatan lebih kompetitif yang memberi manfaat besar kepada graduan TVET dan majikan.

‘Wage Guide’ dan “Carrier Bridge Tool’

“Secara spesifiknya, sistem ‘Wage Guide’ mampu membantu graduan TVET mengenal pasti dan mengukur potensi sekali gus membuat keputusan tepat dalam pilihan kerjaya mereka.

“Menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), sistem ‘Wage Guide’ mampu membuat unjuran masa depan melalui graf panduan yang dijana berasaskan teknik pembelajaran mesin (machine learning).

“Dengan merangkumi input-input tertentu seperti umur, jenis pekerjaan, lokasi dan kelayakan, graf ini akan menghasilkan profil yang menunjukkan unjuran julat gaji mengikut jenis pekerjaan serta umur,” katanya.

Contoh unjuran julat gaji permulaan dan unjuran julat gaji selepas lima tahun untuk sampel pekerjaan yang diambil daripada ‘Wage Guide’.
Contoh unjuran julat gaji permulaan dan unjuran julat gaji selepas lima tahun untuk sampel pekerjaan yang diambil daripada ‘Wage Guide’.

Berteraskan sistem ‘Wage Guide’, Sivakumar berkata, lepasan TVET akan lebih cakna mengenai penentuan gaji terutama mereka yang berada dalam pasaran pekerjaan berpendapatan rendah atau berasaskan paras gaji minimum RM1,500 sehingga RM2,000.

Selain itu, katanya, sistem tersebut membantu graduan membuat pemadanan pekerjaan dan perundingan dengan pihak majikan untuk mendapatkan gaji pada kadar yang lebih sesuai.

Menyentuh perincian mengenai ‘Carrier Bridge Tool’, beliau berkata, ia adalah pembangunan sistem berteraskan kaedah dalam talian yang membantu menghubungkan graduan TVET dengan pekerjaan yang sepadan mengikut kelayakan mereka menerusi platform portal MYFutureJobs.

“Melalui kaedah ini, graduan TVET mampu meneroka peluang pekerjaan mengikut bidang pilihan mereka dengan memberikan akses kepada pangkalan data menyeluruh yang membantu menunjukkan potensi kerjaya masing-masing.

“Bagi pengunaan ‘Carrier Bridge Tool’ ini, graduan TVET boleh memilih tahap dan nama kelayakan mereka secara dalam talian.

“Seterusnya, graduan TVET hanya perlu menekan paparan pada butiran jawatan kosong yang menyenaraikan ruangan mengandungi nama pekerjaan, majikan, lokasi, jenis kontrak dan julat gaji,” katanya.

Selanjutnya, Sivakumar berkata, graduan boleh memohon secara terus jawatan yang diinginkan mereka dengan mendaftar masuk ke dalam protal MYFutureJobs.

Contoh nama kelayakan, nama pekerjaan, jumlah kekosongan, median tawaran gaji permulaan dan median tawaran gaji selepas lima tahun dan kadar perubahan (peratusan) untuk pekerjaan yang ditawarkan dalam MyFutureJobs setakat Jun 2023.
Contoh nama kelayakan, nama pekerjaan, jumlah kekosongan, median tawaran gaji permulaan dan median tawaran gaji selepas lima tahun dan kadar perubahan (peratusan) untuk pekerjaan yang ditawarkan dalam MyFutureJobs setakat Jun 2023.

Secara umumnya, beliau berkata, usaha Perkeso ini harus diberikan penghargaan kerana ia membantu memudahkan graduan TVET mencari pekerjaan yang sesuai dengan mereka.

Selain itu, pembangunan kedua-dua sistem berteraskan AI dan pembelajaran mesin ini berupaya membantu graduan TVET menentukan kadar gaji yang sesuai dalam membuat pilihan pekerjaan.

“Jika dahulu, pencari kerja perlu mengemukakan secara manual dan mengambil masa satu hari atau lebih lama untuk memohon pekerjaan dengan membuat salinan sijil-sijil kelayakan yang diperlukan.

“Kini, hanya dengan beberapa minit, permohonan dapat dihantar secara terus dan tepat.

“Dengan kaedah yang direncana dan dilaksanakan Perkeso ini, ia membuka lebih banyak pilihan pekerjaan, merapatkan jurang gaji graduan TVET, sekali gus membantu memacu kualiti hidup mereka,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan ‘Wage Guide’ dan ‘Carrier Bridge Tool’, orang ramai khususnya graduan TVET boleh melayari pautan https://eiscentre.perkeso.gov.my/wage-guide dan juga https://eiscentre.perkeso.gov.my/career-bridge-tool/.