Hasil vaksin Covid-19 perlu usahasama, bukan bersaing sesama negara

Hishammuddin - Foto fail Bernama
Hishammuddin - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia percaya usaha menghasilkan vaksin wabak koronavirus (Covid-19) perlu dilaksanakan melalui promosi usahasama di peringkat antarabangsa berbanding persaingan antara negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif bersama itu penting bagi menyelamatkan nyawa manusia berbanding usaha menaikkan nama negara semata-mata untuk mendapatkan bidaan tertinggi bagi vaksin dihasilkan.

Menurutnya, tiada negara, baik yang kecil atau besar serta yang miskin atau kaya, berjaya memenangi 'perang' ke atas Covid-19 sehingga kini.

"Hakikatnya, pandemik itu menyebabkan semua negara dan kaum berada pada tahap sama dalam usaha untuk menghasilkan vaksin Covid-19. Dalam hal ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya boleh memainkan peranan lebih proaktif dan besar dalam menekankan usaha menghasilkan vaksin yang lebih mampu milik, mudah didapati serta adil dimiliki oleh semua pihak.

"Solidariti manusia di peringkat global adalah apa yang paling diperlukan ketika ini dan kita mesti bekerja lebih pantas kerana ini sahaja peluang kita ada untuk menyelesaikan krisis pandemik Covid-19," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam program 'Virtual Event: The UN75 National Conversation The Future We Want And The UN We Need', hari ini.

Majlis persidangan dalam talian menyaksikan penglibatan 75 negara anggota PBB bagi membincangkan hala tuju pertubuhan itu dalam mendepani pandemik Covid-19 dan krisis kemanusiaan lain di seluruh dunia.

Hishammuddin turut menekankan keperluan PBB untuk bekerja lebih keras dan lebih ke hadapan bagi mempromosi kerjasama dan semangat berpasukan antara negara-negara anggota dalam memerangi Covid-19.

Menurutnya, kebanyakan rakyat Malaysia gagal melihat impak secara terus disalurkan PBB dalam kehidupan seharian mereka sewaktu mendepani pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Ramai yang kehilangan kerja, perniagaan terpaksa ditutup, dompet semakin menipis dengan Malaysia terpaksa menangani krisis sosioekonomi secara bersendirian sebelum ini.

"Sebagai Menteri Luar, saya memutuskan bekerja lebih dekat dengan rakan-rakan dari Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM), negara-negara Komanwel, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) dan negara Asean untuk berkongsi kaedah dan pengalaman terbaik dalam membendung serta mengawal pandemik Covid-19 di negara masing-masing.

"Namun, Malaysia yakin mampu berbuat lebih baik jika kita mendapat sokongan PBB, dalam menentukan hala tuju negara pada era pasca pandemik Covid-19," katanya.