Malaysia tingkat usaha atasi kecurian hasil laut, bot asing

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Malaysia sedang berusaha mengurangkan isu kecurian hasil laut dan pencerobohan nelayan asing melalui pertemuan diplomatik dengan pemimpin negara-negara jiran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ikhtiar lain Kementerian Dalam Negeri ialah melalui penguatkuasaan dan operasi berterusan.

Beliau memberitahu, sehingga kini pihaknya sudah mengadakan kunjungan ke Thailand, Filipina dan Indonesia untuk bertemu rakan sejawat serta membangkitkan isu berkenaan.

"Hakikatnya isu kecurian ini berlaku tetapi usaha pembanterasan secara bersama akan terus diberi tumpuan selain ikhtiar yang berterusan.

"Hanya dengan cara itu kita boleh bergerak ke arah mengurangkan ancaman dan pencerobohan bot nelayan asing perlu dibanteras secara bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Lawatan Kerja Ke Sempadan Perairan Maritim Negeri Kelantan di sini pada Rabu.

Saifuddin memberitahu, dalam tempoh lima tahun, lebih RM600 juta bot nelayan asing sudah dilupuskan sekali gus membuktikan komitmen penguatkuasaan pihak berkuasa.

Selain itu katanya, Ops Khas Pagar Laut yang dilaksanakan dari 9 April hingga 30 April telah melakukan pengawasan 24 jam seminggu dan berjaya menyekat kemasukan bot nelayan asing.

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dalam tempoh itu ialah RM15 juta.

"Sebanyak 48 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan kontraband dan barang kawalan, pendatang tanpa izin dan bot nelayan asing," katanya.

Beliau turut menjelaskan, selain aktiviti tangkapan ikan oleh nelayan asing di zon maritim negara, pelaksanaan operasi juga bertujuan mengekang pencerobohan kapal pengawal pantai negara luar dari memasuki Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Bagi menghentikan isu tersebut, beliau menegaskan akan membawa rundingan ke peringkat mesyuarat kabinet supaya dapat diambil tindakan sehingga ke peringkat pertubuhan antarabangsa.