MB Selangor turun padang agih bubur lambuk PKNS bersama rakyat

Amirudin (tiga, kanan) bersama pemain Selangor FC mengedarkan bubur lambuk PKNS kepada orang ramai di di Aneka Walk di sini pada Jumaat.
Amirudin (tiga, kanan) bersama pemain Selangor FC mengedarkan bubur lambuk PKNS kepada orang ramai di di Aneka Walk di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turun padang mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena program Ramadan Kasih anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini pada Jumaat.

Beliau meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung selain menyertai edaran bubur lambuk di Aneka Walk yang menjadi lokasi pelancaran program itu tahun ini.

PKNS dalam kenyataan memaklumkan, program tradisi hampir 20 tahun itu menyaksikan sebanyak 6,000 bekas bubur lambuk diagihkan sepanjang Ramadan dengan peruntukan keseluruhan RM48,000 di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS.

"Sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang awam khususnya di sekitar Bandaraya Shah Alam," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Hadir sama pada program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas dan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail.

Selain itu, kehadiran barisan pemain Selangor FC mencuri tumpuan ramai apabila turut mengedarkan bubur lambuk kepada peminat sempena program berkenaan.

Antara yang hadir ialah Safuwan Baharudin, Faisal Halim, Harith Haiqal, Zikri Khalili dan Izwan Yuslan.

Selain bubur lambuk, PKNS turut menyampaikan sumbangan Bakul Ramadan Kasih bernilai RM10,000 kepada Yayasan Belia Malaysia yang bakal memanfaatkan 50 keluarga.

Artikel Berkaitan:

Amirudin (tengah) bersama-sama Mahmud (dua dari kanan) dan Rizam (dua dari kiri) mengacau bubur lambuk pada program Ramadan Kasih anjuran PKNS di sini, Jumaat.
Amirudin (tengah) bersama-sama Mahmud (dua dari kanan) dan Rizam (dua dari kiri) mengacau bubur lambuk pada program Ramadan Kasih anjuran PKNS di sini, Jumaat.

PKNS memaklumkan, sumbangan itu merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan telur bagi membantu meringankan beban penerima sepanjang bulan mulia ini.

"Agihan seterusnya kepada warga PKNS dijadualkan pada 25 Februari, 4 Mac dan 11 Mac dengan 1,000 bekas bagi setiap sesi.

"Edaran kepada orang awam turut diadakan pada 4 Mac di Datum Jelatek Shopping Centre serta 11 Mac di Evo Mall, masing-masing membabitkan 1,000 bekas," tambah kenyataan berkenaan.

Seperti tahun sebelumnya, PKNS turut mengatur pelbagai program CSR lain termasuk membawa 26 anak yatim dari Pertubuhan Pengurusan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, Sabak Bernam membeli-belah pakaian raya pada 7 Februari lalu.

Sumbangan turut disampaikan kepada pertubuhan sama pada 21 Februari dan Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Pulau Indah pada 1 Mac di Masjid Kampung Raja Uda sebelum diteruskan dengan Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS di Shah Alam Convention Centre bagi meraikan anak-anak yatim.

MOHAMAD EKRAM
MOHAMAD EKRAM

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohamad Ekram Cheei, 39, berkata, keenakan bubur lambuk yang diagihkan PKNS saban tahun membuatkanya sanggup datang seawal jam 3 petang bagi mendapatkan juadah berkenaan.

Mohamad Ekram berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang mendapatkan bubur lambuk PKNS sejak lebih 13 tahun lalu kerana rasanya yang dianggap cukup istimewa.

"Istimewanya bubur lambuk PKNS ini sebab resipinya daripada Kampung Baru. Memang sedap, itu yang saya tak pernah lepaskan peluang,” katanya.

Mohamad Ekram yang menetap di Sunway berkata, bubur lambuk itu bukan sahaja untuk keluarganya, malah turut dikongsi bersama rakan-rakan.

"Saya dah berkahwin dan ada dua anak, dapatlah bawa balik untuk juadah berbuka puasa bersama keluarga.

"Saya juga tidak melupakan rakan lain yang saya jumpa nanti untuk beri mereka rasa keenakan bubur lambuk PKNS ini," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!