Kerajaan teliti implikasi tarif baharu AS selepas keputusan Mahkamah Agung

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia sedang memantau rapi perkembangan di Amerika Syarikat (AS) susulan tarif import Presiden Donald Trump dibatalkan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, meskipun Malaysia sudah menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS tahun lalu, Putrajaya masih belum meratifikasi perjanjian berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan sedang menilai dengan teliti perkembangan undang-undang dan dasar terkini di AS.
“Kerajaan sedang menilai dengan teliti perkembangan undang-undang dan dasar terkini di AS,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Johari berkata, Washington masih mempunyai mekanisme undang-undang lain yang membolehkannya mengenakan tarif secara sepihak, selain langkah perdagangan lain.
Jelasnya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut meneliti pengumuman Trump mengenai tarif 10 peratus ke atas semua barangan import susulan keputusan Mahkamah Agung AS.
“Kita sedang mengkaji skop dan implikasinya. Pada peringkat ini, kita sedang menunggu kejelasan lanjut mengenai bagaimana langkah ini akan dilaksanakan dan sama ada pelarasan tambahan akan menyusul,” ujarnya.
Beliau berkata, AS kekal antara ekonomi terbesar dunia dan rakan dagang utama Malaysia, dengan jumlah perdagangan RM367 bilion tahun lalu, termasuk RM233 bilion dalam bentuk eksport ke negara itu.
“Pendirian Malaysia adalah jelas dan konsisten. Kita akan terus komited kepada perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan, demi mengekalkan persekitaran perniagaan yang stabil dan boleh diramal, serta bagi melindungi kepentingan pengeksport Malaysia, pelabur antarabangsa, perniagaan yang beroperasi di Malaysia dan pekerja dalam seluruh ekonomi kita, " ujarnya.
Pada masa sama, beliau menambah, Malaysia akan terus mempelbagaikan hubungan dagangnya dan memperkukuh kerjasama ekonomi serantau serta pelbagai hala bagi memastikan daya tahan dalam persekitaran perdagangan global yang terus berkembang.
“Kita akan bertindak demi kepentingan terbaik Malaysia, sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS,” ujarnya lagi.
Pada Jumaat, dalam keputusan enam berbanding tiga, Mahkamah Agung AS memutuskan Trump telah melampaui kuasanya dalam mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
Berikutan keputusan itu, Trump menyatakan beliau akan mengenakan tarif seragam 10 peratus ke atas semua barangan import di bawah kuasa berasingan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia memantau perkembangan di AS susulan tarif import Presiden Donald Trump dibatalkan oleh Mahkamah Agung AS
- Malaysia belum ratifikasi perjanjian perdagangan timbal balas dengan AS yang ditandatangani tahun lalu
- Kerajaan sedang menilai dengan teliti perkembangan undang-undang dan dasar terkini di AS
- AS kekal sebagai ekonomi terbesar dunia dan rakan dagang utama Malaysia dengan jumlah perdagangan RM367 bilion tahun lalu
- Malaysia komited kepada perdagangan terbuka dan mempelbagaikan hubungan dagang untuk mengekalkan persekitaran perniagaan yang stabil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

