ATM tambah baik sistem sebut harga perolehan - Khaled Nordin

JOHOR BAHRU - Langkah menambah baik sistem sebut harga perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah dilakukan kerajaan bagi memastikan proses lebih telus dan cekap.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu antara yang dipersetujui dalam rundingan Kementerian Pertahanan (Mindef) bersama Kementerian Kewangan (MoF) berhubung pelepasan dana susulan pembekuan perolehan ATM.
"Jika sebut harga perolehan itu dibuat oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), mesti ada ahli dari perkhidmatan lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau Tentera Darat (TDM) dalam jawatan kuasa itu, begitu juga yang lain.
"Selain itu, kerajaan juga mahu supaya perolehan daripada pembekal, jika ia libatkan peralatan luar negara, mesti dilakukan secara tender terbuka antarabangsa.
"Jika dahulu tidak buat begitu, ejen akan masuk, jadi harganya akan naik, jadi kali ini perlu buat secara langsung," katanya ketika sidang akhbar selepas Program Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Bandar Seri Alam di sini pada Sabtu.
Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Kata Anwar, kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pembekuan perolehan tidak membabitkan soal pembekalan makanan dan dana perolehan ATM yang masih dibekukan tidak menjejaskan kesiapsiagaan anggota tentera dan operasi ATM.
"Ada sesetengah perkara kita rasakan tidak boleh berpanjangan (pembekuan) seperti makanan sebab bila tentera beroperasi, dia perlukan pembekalan makanan dan juga seperti kenderaan, dalam isu alat ganti dan minyak, ini semua memang kita minta untuk dikecualikan daripada pembekuan," jelasnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan sudah meningkatkan sistem sebut harga perolehan ATM untuk lebih telus dan cekap
- Perbincangan antara Mindef dan MoF berlangsung untuk membebaskan dana pembekuan perolehan ATM
- Perolehan peralatan dari luar negara mesti dilakukan melalui tender terbuka antarabangsa
- Perdana Menteri mengumumkan pembekuan sementara semua keputusan perolehan ATM dan PDRM berkaitan isu rasuah
- Pembekuan perolehan tidak menghalang pembekalan makanan dan tidak menjejaskan operasi atau kesiapsiagaan ATM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

